Translate

Tuesday, July 10, 2018

Penjenayah pecah kereta 
Geng Pak Hitam dicekup

KUALA TERENGGANU – Geng jenayah terdiri daripada kalangan penagih dadah yang giat melakukan pecah ken­deraan di kawasan masjid sekitar bandar raya ini dan Kuala Nerus ditumpaskan polis berikutan penahanan tiga suspek termasuk seorang wanita pada Khamis lalu.

Kumpulan jenayah yang menggelarkan mereka sebagai Geng Pak Hitam itu dipercayai telah terlibat dalam sekurang-kurangnya enam kes pecah kereta termasuk melibatkan pacuan empat roda, Toyota Hilux milik bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah yang telah bersara dua tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar berkata, Geng Pak Hitam telah memecah cermin kenderaan Toyota Hilux dan melarikan sebuah beg mengandungi beberapa kitab agama dan tafsir al-Quran sewaktu Mohd. Adnan menunaikan solat Subuh di sebuah masjid di Kuala Ibai di sini pada 25 Jun lalu.

“Ketiga-tiga suspek berusia 28 hingga 40 tahun ditahan di kawasan tempat letak kereta sebuah masjid di Bukit Besar di sini pada pukul 5 pagi, 5 Julai lalu.

“Pemeriksaan di dua premis di Jalan Sultan Omar dan Bandar Baru Pulau Kam­bing di sini menemui barangan disyaki curi seperti tudung, buku, beg, telekung, kunci pendua kereta, beg tangan, kitab agama dan pakaian,” kata beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini semalam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati geng jenayah yang didalangi seorang lelaki berusia 40 tahun digelar Pak Hitam tersebut memilih kereta-kereta mangsa yang diletakkan di kawasan masjid di sekitar bandar raya ini dan Kuala Nerus pada waktu solat Subuh untuk dipecah.

APMM rampas 4.5 tan ikan, sotong

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan dua bot nelayan Vietnam dan merampas 4.5 tan hasil laut dalam dua operasi di perairan negeri ini pada Sabtu lalu.
Dalam operasi bermula pukul 7.40 malam itu, pihak berkuasa turut menahan 19 awak-awak dan dua tekong di dua lokasi berasingan iaitu pada kedudukan 33 dan 39 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, siasatan mendapati kedua-dua bot nelayan Vietnam itu dipercayai baru selesai menangkap ikan secara haram dengan menggunakan pukat tunda gading.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemui satu tan ikan pelbagai jenis seperti ikan kerisi dan ikan putih, satu tan ikan baja, 2.5 tan sotong dan 10 liter minyak diesel.

“Kesemua rampasan termasuk peralatan menangkap ikan dianggarkan mencecah nilai RM2.4 juta,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini semalam.

Rahim berkata, 19 awak-awak dan dua tekong yang ditahan berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun dan hasil pemeriksaan, mendapati mereka tidak mempunyai permit kerja dan dokumen perjalanan yang sah.

“Siasatan juga mendapati kedua-dua bot nelayan asing itu tidak mendapat kebenaran daripada Jabatan Perikanan untuk menangkap ikan di perairan negara ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sejak awal tahun ini, sebanyak 40 kes pencerobohan bot nelayan Vietnam direkodkan di perairan Terengganu manakala di perairan Pahang pula sembilan kes.

“APMM Wilayah Timur telah mengadakan rondaan penguatkuasaan di tiga zon iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan bagi mengurangkan pencerobohan nelayan asing.

“Berdasarkan maklum balas, kebanyakan nelayan Vietnam gemar memasuki perairan Terengganu kerana mudah untuk menangkap sumber ikan berkualiti terutama di persekitaran 156 pelantar minyak,” katanya.

TFC I nekad balas dendam terhadap Kuala Lumpur

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD Terengganu Football Club I (TFC I) mahu menjadikan pertemuan dengan Kuala Lumpur pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini sebagai medan untuk membalas dendam.

Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim (gambar) berkata, anak-anak buahnya mahu menebus kembali kekalahan memalukan terhadap skuad Warga Kota tersebut pada aksi pertama Liga Super di gelanggang lawan, Mei lalu.

“Tewas 0-3 kepada Kuala Lumpur pada Mei lalu telah menjadi pengajaran besar kepada TFC I. Kami sudah pasti mahu mene­bus kehampaan tersebut de­ngan tidak mengulangi kesilapan sama pada aksi malam esok (malam ini).

“Saya pasti barisan serangan TFC I yang dikemudi kapten pa­sukan, Tchetche Kipre sudah bersedia untuk merobek gawang Kuala Lumpur seawal mungkin bagi menjamin tiga mata penting pada perlawanan tersebut,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Irfan berkata, beliau mengingatkan anak-anak buah­nya agar tidak mensia-siakan sebarang peluang terhidang terutama pada situasi bola mati bagi mencapai kemenangan berharga.

Dalam perkembangan sama, jurulatih berpengalaman tersebut memberitahu, TFC I tidak dapat menurunkan pemain pertahanan kental mereka, Muhammad Kamal Azizi Mohd. Zabri pada aksi terbabit.

Menurutnya, pemain berusia 24 tahun itu me­ngalami penggantungan satu perlawanan selepas me­nerima kad kuning ketiga pada aksi menentang Ne­geri Sembilan minggu lalu.