Translate

Friday, September 3, 2010

JPJ menyamar pantau orang ramai balik raya


Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak akan menyamar sebagai orang awam untuk merakam gambar kesalahan pengguna jalan raya sempena perayaan Aidilfitri dari 4 September hingga 25 September ini.

Pengarah JPJ Perak, Jaafar Mohamed (gambar) berkata, skuad pemantau itu akan melakukan rondaan di 15 laluan maut yang dikenal pasti di seluruh negeri ini sepanjang tempoh tersebut.

“Anggota penguat kuasa kami menaiki kereta persendirian dengan berpakaian biasa dan masing-masing akan membawa kamera digital bagi merakam kesalahan pengguna di jalan raya.

“Enam kesalahan menjadi keutamaan pemantauan ialah melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, mengekori kenderaan terlalu rapat dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Jaafar berkata, teknik penyamaran tersebut merupakan salah satu daripada enam strategi JPJ Perak untuk mengurangkan kemalangan maut sepanjang Ops Sikap 22.

Beliau berkata, pendekatan lain yang diambil ialah rondaan di laluan maut; pemeriksaan bas ekspres di depot dan terminal; kesalahan lebih muatan; larangan penggunaan kenderaan berat dan operasi bilik kawalan.

"Pada musim Aidilfitri tahun lepas, seramai 30 orang terkorban akibat kemalangan jalan raya di seluruh Perak.

"Sehubungan itu,JPJ Perak menyasar untuk memastikan korban jalan raya pada musim perayaan kali ini tidak akan lebih 30 orang, jika tidak kami dianggap gagal," katanya.

Dalam perkembangan sama, Jaafar memberitahu, semua laluan maut yang dikenal pasti di Perak merupakan jalan Persekutuan dan jalan bandaran iaitu Jalan Ipoh-Lumut; Jalan Ipoh-Teluk Intan; Jalan Ipoh-Kuala Kangsar; Jalan Ipoh-Butterworth dan Jalan Taiping-Pantai Remis.

Turut terlibat ialah Jalan Teluk Intan-Sitiawan; Jalan Teluk Intan-Bidor; Jalan Teluk Intan-Sabak Bernam; Jalan Sitiawan-Ipoh, Jalan Sri Manjung-Lekir, Jalan Lumut-Sitiawan; Jalan Ipoh-Gerik; Jalan Ipoh-Tanjung Malim dan Jalan Gerik-Jeli.

Pelesit rempit buat kecoh pada malam merdeka

IPOH - Sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 malam semalam digunakan oleh pelesit rempit di sini untuk berlumba dan menunggang motosikal dengan cara berbahaya.

Akibatnya, seramai 33 pelesit rempit dicekup polis dalam satu operasi khas pada awal pagi semalam.

Ketua Polis Trafik Perak, Supritendan Wan Abdullah Ishak berkata, kesemua mereka termasuk dua wanita ditahan semasa berlumba haram di Jalan Sultan Idris dan Jalan Tun Razak di sini.

"Operasi yang bermula 12.30 tengah malam hingga 5.30 pagi itu membabitkan 48 anggota polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Semua remaja berusia dari 17 hingga 26 tahun itu ditahan atas pelbagai kesalahan jalan raya," katanya kepada Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu sebanyak 33 motosikal yang ditunggang pelesit rempit terbabit termasuk lapan yang ditinggalkan pemiliknya telah disita dalam operasi terbabit.

Di Kuala Terengganu, tindakan empat remaja menyambut kemerdekaan negara dengan cara melakukan aksi 'willy' (mengangkat tayar hadapan motosikal) mengundang padah.

Selain cedera akibat terbabas, empat remaja terbabit juga bakal berdepan hukuman di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal dengan cara berbahaya.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Asisten Supritendan Che Khazahari Amat, kesemua remaja itu ditahan dalam operasi Ambang Merdeka/Samseng Jalanan sekitar bandar itu semalam.

"Dalam kes pertama, seorang penunggang motosikal berusia 19 tahun dan pemboncengnya telah ditahan kerana melakukan aksi berbahaya," katanya.

Menurutnya, remaja berkenaan ditangkap selepas mereka terbabas ketika cuba melarikan diri dari polis di Jalan Kemajuan kira-kira pukul 3.50 pagi.

Jelasnya, kes kedua melibatkan dua remaja dari Kampung Pasir Panjang dekat sini yang menunggang secara berbahaya dan melanggar lampu isyarat di Pengadang Baru dekat sini kira-kira pukul 3.40 pagi.

Petronas jamu pelajar antarabangsa UTP

JAMU. Petronas Dagangan Berhad (Petronas) menjamu lebih 1,000 hadirin termasuk pelajar antarabangsa berbuka puasa di Masjid An-Nur, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar baru-baru ini.

Turut diraikan pada majlis tersebut adalah seramai 60 penduduk terdiri daripada golongan kurang bernasib baik dari kawasan sekitar kampus.

Golongan kurang bernasib baik tersebut menerima sumbangan seperti duit raya, al-Quran dan persiapan menyambut Syawal yang disampaikan Naib Presiden Perbendaharaan Petronas, Nuraini Ismail dan Rektor UTP, Datuk Zainal Kasim.