Translate

Monday, July 7, 2014

Hajat anak kedua Linda Rafar tidak kesampaian

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Pelakon, Linda Rafar terkilan hajat anak keduanya, Rezaimen Keifli, 12, untuk menjadi tahfiz al-Quran tidak kesampaian apabila kanak-kanak itu meninggal dunia selepas menderita penyakit ketumbuhan kronik pada bahagian perut kelmarin.

Adik Linda, Diana berkata, allahyarham sering menyuarakan hasrat untuk memasuki maahad tahfiz bagi menjadi seseorang yang hafiz al-Quran.

“Katanya dengan menjadi tahfiz al-Quran, dia dapat membawa ahli keluarganya ke syurga.

“Memen (nama manja panggilan keluarga) disayangi ramai kerana peribadinya yang ramah dan periang. Pemergiannya seawal ini memang amat mengejutkan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui selepas upacara pengkebumian Rezaimen di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini semalam.

Linda, 36, dan suaminya Syed Aiman Syed Mahmud, 38, kelihatan sugul sepanjang upacara pengkebumian tersebut dan enggan ditemubual.

Turut kelihatan bapa kandung Rezaiman, Kefli Othman, suami Diana, Zamarul Hisham dan beberapa rakan artis seperti Sasha Saidin dan pelawak, Lan Pet-Pet.

Diana memberitahu Rezaimen yang menderita ketumbuhan kronik pada bahagian perut sejak Mac lalu meninggal dunia di sisi ibunya dan ibu saudaranya, Anita pada pukul 5.30 petang di wad Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur dekat sini kelmarin.

Menurut dia, pada mulanya sewaktu Rezaimen mula-mula mengadu kerap senak dan sakit perut sehingga sukar bernafas kira-kira empat bulan lalu, mereka sekeluarga menyangkakan allahyarham cuma mengalami gastrik ataupun penyakit apendiks.

“Namun hasil pemeriksaan doktor kemudian mengesahkan Rezaimen mengalami penyakit kanser perut tahap empat. Tahap kesihatannya semakin merosot dua, tiga hari lalu sebelum nazak sejam sebelum meninggal dunia,” katanya.

Rezaimen yang juga murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 di sini merupakan anak kedua hasil perkongsian hidup Linda bersama bekas suaminya, Kefli.

Anak pertama pasangan itu ialah Rezaril yang kini berusia 14 tahun.

No comments:

Post a Comment