Translate

Monday, September 9, 2024

Himpunan RXZ 6.0: Ikut peraturan kalau tidak mahu kena ‘pukat’

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu mengingatkan 80,000 peminat motosikal Yahama RXZ yang akan membanjiri Himpunan RXZ Members 6.0 di negeri ini pada hujung minggu ini agar mematuhi peraturan lalu lintas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, kehadiran mereka amat dialu-alukan tetapi pematuhan undang-undang trafik perlu diberi keutamaan.

Beliau berkata, penganjur Himpunan RXZ Members 6.0 telah diingatkan agar memastikan semua peserta memiliki lesen memandu, cukai jalan dan insurans yang sah.

“Saya tidak mahu guna istilah ‘pukat’ tetapi kita akan tetap adakan sekatan jalan raya (SJR) yang memberi tumpuan kepada kawasan sekitar bandar raya ini.

“Ia selaras Op Khas Motosikal yang telah diarahkan Bukit Aman bermula 12 September ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Himpunan RXZ 6.0 yang mengumpulkan peminat motosikal Yamaha RXZ seluruh negara berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus pada Jumaat dan Sabtu ini.

Penganjuran pada tahun lalu menimbulkan kontroversi apabila banyak motosikal peserta disita akibat ‘dipukat’ dalam SJR dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan.

Mohd. Khairi berkata, Op Khas Motosikal tersebut bukan menumpukan terhadap peserta Himpunan RXZ Members semata-mata malah semua penunggang motosikal.

Jelas beliau, selain lesen, cukai jalan dan insurans, tumpuan juga akan diberikan terhadap pematuhan cermin sisi, ekzos dan tayar motosikal yang mengikut peraturan. – KOSMO! ONLINE

Sunday, September 8, 2024

Paip pecah, bekalan air 2,670 keluarga di Besut terjejas sehingga 21 hari

BESUT - Sebanyak 2,670 keluarga yang tinggal di Bukit Keluang di sini dijangka berdepan gangguan bekalan air sehingga 21 hari ekoran kebocoran paip di dasar Sungai Besut berhampiran Jambatan Kampung Lampu di sini kelmarin.

Jurucakap Syarikat Air Terengganu Sdn, Bhd. (Satu) berkata, gangguan luar jangka itu melibatkan 11 penempatan di kawasan terbabit.

"Ia disebabkan kebocoran paip bersaiz 600 milimeter (mm) yang terdapat di dasar Sungai Besut.

"Kerja-kerja baik pulih akan dijalankan oleh kontraktor dilantik," katanya di sini semalam.

Jurucakap Satu berkata, semua kawasan terlibat dijangka mengalami gangguan bekalan air selama 21 hari sehingga 21 Januari depan.

Beliau berkata, Satu sedang menghantar bekalan air alternatif di kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan terhadap premis kritikal.

"Sebanyak enam buah lori tangki air dan 49 buah tangki statik sedang ditempatkan di lokasi terlibat," tambahnya.

Pengendali katering rugi RM9,750 ditipu ‘pegawai bomba’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga kerugian RM9,750 apabila menjadi mangsa penipuan ‘scammer’ menyamar pegawai Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur yang kononnya mahu menempah perkhidmatan katering terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya wanita berusia 33 tahun itu dihubungi suspek menerusi aplikasi WhatsApp pada Isnin lalu kononnya bagi tempahan perkhidmatan katering untuk majlis penutup sambutan Hari Kebangsaan peringkat akademi terbabit.

“Mangsa kemudiannya berhubung dengan suspek yang mengaku wakil Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur.

“Dia bersetuju untuk menerima tawaran tersebut sebelum diminta untuk menghubungi kenalan suspek kononnya bagi membincangkan urusan penyediaan goodies (buah tangan untuk tetamu) pula,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, kenalan suspek yang dihubungi itu kemudiannya meminta peniaga terbabit membayar RM9,750 kononnya bagi penyediaan barangan untuk buah tangan tetamu berkenaan.

Tambah beliau, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa telah melakukan transaksi dengan memindahkan wang diminta ke akaun bank diarahkan suspek kedua.

“Begitupun apabila mangsa mahu menghubungi semula suspek pertama yang mengaku sebagai wakil Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur terbabit, panggilannya telah disekat.

“Dia hanya menyedari tertipu yang tawaran perkhidmatan katering itu sebenarnya tidak wujud apabila melakukan semakan dengan pejabat Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur yang terletak di Wakaf Tapai, Marang,” katanya.

Azli berkata, wanita itu kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada kelmarin. – KOSMO! ONLINE

Friday, September 6, 2024

Hati dah ada tapi duit bedah pula tak cukup

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Perasaan sedih menyelubungi hati seorang ibu setiap kali melihat bayi lelakinya yang baru berusia 14 bulan menangis dan menahan kesakitan akibat penyakit biliary atresia atau saluran hempedu tersumbat.

Wan Suzilawati Wan Shamsudddin, 43, berkata, penyakit itu menyebabkan berat badan Muhammad Mikhail Iman Jamil yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik susut mendadak selain perutnya yang agak membengkak.

Katanya, anaknya itu dilahirkan sebagai bayi pra matang iaitu berusia 33 minggu dan doktor sudah mengesyaki Muhammad Mikhail menghidap masalah hempedu.

“Simptom-simptom penyakit saluran hempedu tersumbat mula kelihatan sehingga menjejaskan fungsi hatinya sewaktu berusia dua bulan.

“Ini menyebabkan anak saya perlu menjalani pembedahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bahru, Kelantan,” kata­nya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubur Timah, Batu Rakit di sini baru-baru ini.

Wan Suzilawati menjelaskan, pembedahan itu bagaimanapun tidak berjaya dan tahap kesihatan anaknya menjadi serius.

Jelasnya, fungsi hati Muhammad Mikhail semakin merosot sehingga doktor mencadangkan agar pembedahan dilakukan segera.

“Sebagai ibu, saya bersedia mendermakan sebahagian hati untuk anak saya (Muhammad Mikhail Iman) asalkan dia dapat sembuh semula.

“Begitupun paling merisaukan apabila kami tidak mampu membiayai kos pembedahan pemindahan hati yang dianggarkan berjumlah RM100,000,” katanya.

Wan Suzilawati berkata, mereka tidak mampu memandangkan suaminya, Jamil Yusof, 45, hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM1,000 sebulan selain menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM200 sebulan.

Katanya, banyak duit telah dibelanjakan untuk kos perubatan Muhammad Mikhail Iman sebelum ini sehingga menjejaskan urusan harian keluarganya.

“Kami sudah hilang upaya kewangan sehingga dua kakak Mikhail iaitu Nurul Nufadila, 14, dan Nurul Nurlaila, 16, terpaksa diberhentikan sekolah baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank Wan Suzilawati bernombor 1110229000193561 (Bank Simpanan Nasional) atau menghubunginya di talian 01112923545.

Pesara kerajaan bakal dituduh beri keterangan bercanggah kepada SPRM

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pesara kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki memberi kenyataan tidak selari dan bercanggah kepada pegawai agensi itu pada kira-kira pada enam tahun lalu.

Sumber berkata, suspek berusia 60-an ditahan sewaktu memberi keterangan di pejabat SPRM Segamat, Johor pada pukul 11.30 pagi.

“Sebelum ini dia telah dipangggil untuk dirakam percakapan pada September 2018 dan Ogos 2019.

“Begitupun, sewaktu dipanggil semula pada September 2021, penyataannya didapati tidak selari dengan sebelum ini,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid yang dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, suspek akan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 27(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 di Mahkamah Sesyen di sini esok. – KOSMO! ONLINE

Thursday, September 5, 2024

Bot candat karam: Operasi SAR ditamatkan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa insiden bot mencandat sotong yang karam di perairan Kuala Kemaman, di sini pada Ahad lalu ditamatkan secara rasmi, sebentar tadi.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim, Ariffin Ghazali berkata, operasi SAR selama empat hari sejak Ahad lalu itu ketiadaan petunjuk penting ekoran kegagalan mengenal pasti bangkai bot karam terlibat.

“Operasi pencarian di permukaan dan dasar laut berdepan cabaran arus kuat dan tahap penglihatan terhad.

“Hari ini kami hanya berjaya menjumpai barang-barang peribadi mangsa di kedudukan kira-kira 30 meter dari dasar laut,” katanya, di sini hari ini.

Ariffin berkata, operasi SAR selama empat hari tersebut menggunakan aset air dan udara telah meliputi radius pencarian seluas kira-kira 1, 629.76 kilometer.

Tambah beliau, ia melibatkan pelbagai agensi seperti Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.

Kosmo! kelmarin lalu melaporkan, dua pemancing iaitu Aina Husna Muhammad Husaini, 25, dan Yusof Kassam, 66, dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka dirempuh sebuah tongkang pada pukul 6.30 pagi kelmarin.

Insiden itu turut mengorbankan kenalan keluarga Aina Husna, Siti Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, dan tekong, Shahril Ismail, 50, manakala lima yang lain terselamat.

Sewaktu kejadian, mereka sedang mengikuti trip mencandat sotong pada kedudukan kira-kira 15 kilometer dari perairan Kemaman. – KOSMO! ONLINE

Bot candat karam: Penyelam APPM teruskan usaha cari dua mangsa hilang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Maritim Malaysia (APMM) memberi tumpuan terhadap pencarian bangkai bot karam akibat dirempuh tongkang yang masih belum dijumpai pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, Skuadron Selam Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat APMM melakukan selaman di sekitar perairan Kuala Kemaman dekat sini bagi menjejak bot mencandat sotong terbabit.

“Pencarian (bot dan mangsa) akan diteruskan skuadron terbabit yang terdiri daripada sembilan penyelam pada hari ini.

“Operasi SAR pada hari keempat ini telah bermula sejak pukul 7 pagi tadi dengan keanggotaan 27 orang,” katanya di Markas Maritim Kemaman, Kuala Kemaman di sini hari ini.

Ariffin berkata, operasi SAR berkenaan diperkuat oleh tiga bot peronda milik APMM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Tambah beliau, penggunaan aset udara telah dihentikan berikutan ketiadaan petunjuk baharu walaupun kawasan operasi telah diperluas kepada seluruh perairan Terengganu pada kelmarin.

Kosmo! kelmarin lalu melaporkan melaporkan dua pemancing iaitu Aina Husna Muhammad Husaini, 25, dan Yusof Kassam, 66, dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka dirempuh sebuah tongkang pada pukul 6.30 pagi kelmarin.

Insiden itu turut mengorbankan kenalan keluarga Aina Husna, Siti Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, dan tekong, Shahril Ismail, 50, sewaktu kejadian, mereka sedang mengikuti trip mencandat sotong pada kedudukan kira-kira 15 kilometer dari perairan Kemaman. – KOSMO! ONLINE

Naluri bapa kata jasad Aina dalam bangkai bot

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Bapa Aina Husna, 25, percaya anak perempuannya yang masih hilang ketika mencandat sotong berkemungkinan berada dalam bangkai bot yang karam pada Ahad lalu. 

Menurut Muhammad Husaini Ayob, 60, nalurinya kuat mengatakan bahawa anak kelimanya itu bersama seorang lagi mangsa, Yusof Kassam, 66, terperangkap dalam bot berkenaan.

 “Mengikut cerita isteri (Haziyah Harun) dan anak ketiga (Ain Farahana) yang mengikuti trip sama, Aina mungkin tidak sempat selamatkan diri sewaktu bot terbalik akibat dilanggar tongkang kerana sedang tidur,” katanya ketika ditemui…

 

Bangkai bot candat karam gagal ditemui

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Selaman Skuadron Selam Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat Maritim Malaysia (APMM) hari ini gagal menemukan bangkai bot yang karam selepas dirempuh tongkang pada Ahad lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman, Leftenan Maritim Muhammad Faisal Abdul Rahim berkata, pencarian dilakukan oleh sembilan penyelam di tiga sektor masing-masing seluas 40 meter persegi.

“Pencarian di sektor-sektor dikenal pasti seluas 120 meter persegi tidak menemukan bangkai bot yang dicari.

“Selain itu, pencarian menggunakan aset air dan udara yang menjangkau seluruh perairan Terengganu hari ini juga gagal memperoleh apa-apa petunjuk,” katanya pada sidang akhbar di Markas Maritim Kemaman di sini hari ini.

Muhammad Faisal tidak menolak kemungkinan bot candat sotong yang karam itu telah dihanyutkan arus.

Jelas beliau, ia disebabkan arus di dasar laut pada hari kejadian agak deras.

“Operasi mencari pada skala besar dijangka ditamatkan jika tiada petunjuk baharu pada pukul 7 malam ini. Begitupun, APMM akan meneruskan pencarian dua mangsa hilang dalam skala kecil mulai esok,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan Aina Husna Muhammad Husaini, 25, dan Yusof Kassam, 66, dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka dirempuh tongkang pada pukul 6.30 pagi kelmarin.

Insiden itu turut mengorbankan kenalan keluarga Aina Husna, Siti Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, dan tekong bot, Shahril Ismail, 50, sewaktu mereka mengikuti trip mencandat sotong pada kedudukan 15 kilometer dari perairan Kemaman. – KOSMO! ONLINE

Penyelam APMM jejak lokasi bot candat karam

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Operasi mencari dan menyelamat dua mangsa masih hilang dalam insiden sewaktu mencandat sotong pada Ahad lalu yang masuk hari ketiga hari ini memberi tumpuan menjejak lokasi bot tersebut karam.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, seramai sembilan anggota Skuadron Selam Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat Maritim Malaysia (APMM) telah digerakkan untuk melakukan selaman di dasar laut.

“Selaman dilakukan bagi menjejak lokasi terkini bot yang karam akibat dirempuh tongkang.

“Ia sebahagian usaha untuk mencari dua lagi mangsa yang masih hilang,” katanya di Kuala Kemaman di sini hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan dua maut manakala dua masih hilang setelah dinaiki mereka untuk aktiviti mencandat sotong dan memancing dirempuh sebuah tongkang pada kedudukan 15 kilometer dari perairan Kuala Kemaman.

Dua mangsa yang maut dalam insiden pada pukul 6.30 pagi itu disahkan sebagai Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, dan tekong bot, Shahril Ismail, 50, ditemui kelmarin.

Dua lagi mangsa iaitu Aina Husna dan Yusof Kassam, 66, pula masih hilang manakala lima lain termasuk ibu dan kakak Aina Husna terselamat dengan berpaut pada tong ikan selama hampir dua jam.

Ariffin berkata, sektor pencarian juga telah diperluas sehingga 215.28 kilometer (km) hingga ke perairan Kuala Terengganu menggunakan lima aset termasuk Kapal Maritim (KM) Tok Bali.

Beliau berkata, pemantauan udara, juga telah diperbesarkan sehingga 538.93 km
melibatkan pesawat Bombardier CL415MP milik APMM dan helikopter AW139 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Aina Husna teruja pertama kali candat sotong

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Seorang ibu tidak menyangka keterujaan dua anak perempuannya mengikuti trip mencandat sotong di Terengganu buat pertama kali berakhir tragedi apabila anak kelimanya antara dua yang masih hilang dalam insiden bot dirempuh tongkang di perairan Kuala Kemaman semalam.

Haziyah Harun, 64, berkata, Aina Husna Muhammad Husaini, 25, yang merupakan juruterapi di sebuah pusat spa di Damansara, Selangor sanggup mengambil cuti tiga hari untuk mengikuti trip mencandat sotong berkenaan.

“Sebelum ini saya sudah tiga kali mencandat sotong di Terengganu dan dua anak saya, Ain Farhana dan Aina Husna teruja mahu merasai pengalaman mengikuti trip kali ini.

“Kami telah merancang trip mencandat sotong ini sejak tiga bulan lalu yang turut disertai keluarga kenalan dari Raub Pahang dan kawan-kawan anak,” katanya ketika ditemui bersama suaminya, Muhamad Husaini Ayob, 60, di pusat kawalan operasi di Kuala Kemaman di sini hari ini.

Kosmo! hari ini melaporkan dua maut manakala dua termasuk Aina Husna masih hilang setelah bot mencandat sotong dinaiki mereka dirempuh sebuah tongkang pada kedudukan kira-kira 15 kilometer dari perairan Kemaman.

Mayat Siti Zaminah Mohmad Zobini, 29, yang merupakan kawan Ain Farhana dan tekong bot, Shahril Ismail, 50, ditemui kelmarin manakala Aina Husna dan Yusof Kassam,66, pula masih hilang.

Haziyah berkata, Ain Husna dan kakaknya, Ain Farhana yang teruja mengikut trip mencandat sotong buat kali pertama itu turut membeli peralatan memancing termasuk joran dengan ditemani bapa mereka, Muhamad Husaini pada Khamis lalu.

Dia yang menetap di Tasik Puteri, Rawang, Selangor berkata, Ain Husna juga pernah berseloroh ajalnya bakal menyusul tidak lama lagi sewaktu sepupu lelakinya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Bukit Lanjan, Damansara pada bulan Julai lalu.

“Apapun saya harap dapat menemui segera tubuh anak saya (Ain Husna) walau apapun keadaannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Wednesday, September 4, 2024

Guru lelaki 28 tahun rugi RM258,060 ditipu scammer

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Seorang guru lelaki berusia 28 tahun berputih mata apabila kerugian RM258,060 selepas ditipu sindiket penipuan baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Azrol Anuar Nor berkata, mangsa memindahkan semua wang simpanan ke dalam beberapa akaun bank selepas diugut suspek kononnya terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Beliau berkata, pada mulanya, mangsa dihubungi individu tidak dikenali yang menyamar wakil syarikat penghantaran pada pukul 11.15 pagi, 26 Jun lalu.

“Suspek mendakwa terdapat bungkusan berisi kad pengenalan dan kad bank atas nama mangsa yang didakwa menyalahi undang-undang.

“Talian mangsa disambung kepada polis yang mendakwa dia terlibat pula dalam kes pengubahan wang haram dan penjualan akaun bank,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azrol berkata, suspek mengarahkan mangsa membuat laporan polis secara online dan menakutkan lelaki itu kononnya akaun bank miliknya akan dibekukan.

Tambah beliau, suspek turut diarah untuk memindahkan wang simpanan mangsa ke dalam akaun bank yang diberikan.

“Mangsa kemudian menurut arahan suspek dan melakukan sebanyak 27 transaksi pemindahan ke beberapa akaun bank.

“Guru tersebut hanya menyedari dia ditipu selepas kesemua wang simpanannya tidak dikembalikan sehingga hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Duit KWSP RM99,000 polis bantuan lesap ditipu scammer

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara terperdaya dengan sindiket penipuan atau scammer dalam urusniaga pembelian kenderaan tidak wujud, seorang polis bantuan sebuah bank di Marang kerugian RM99,000 simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya pada minggu lalu.

Mangsa berusia 50 tahun yang menyedari tertipu dengan sindiket penjualan kenderaan tidak wujud tersebut telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, lelaki itu tertarik dengan iklan penjualan kenderaan pelbagai jenis, Perodua Alza berkenaan yang dijumpainya menerusi aplikasi Telegram pada pukul 10 pagi, 8 Ogos lalu.

“Dia yang tertarik dengan tawaran penjualan kenderaan Perodua Alza pada harga RM26,000 itu kemudiannya telah menghubungi nombor telefon kononnya milik seorang jurujual yang tertera pada aplikasi Telegram terbabit.

“Hasil rundingan, mangsa kemudiannya bersetuju membuat pembayaran RM26,000 bagi membeli kenderaan terbabit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, suspek kemudiannya telah meminta polis bantuan terbabit yang menetap di bandar raya ini agar membuat lagi pembayaran kononnya sebagai deposit kastam bagi melepaskan kenderaan kononnya lelong terbabit.

Tambah beliau, suspek juga berjanji kononnya akan memulangkan wang deposit RM73,000 itu setelah urusniaga selesai sepenuhnya.

“Mangsa yang menurut arahan suspek telah memindahkan amaun wang terbabit ke dua akaun bank diarahkan menerusi lima transaksi.

“Dia mula terasa tertipu apabila suspek sekali lagi memintanya membuat pembayaran baharu atas alasan caj tambahan lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tauke air ketum Besut diberkas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Hasrat seorang lelaki untuk mengaut keuntungan mudah dengan menjual 50 bungkusan mengandungi air ketum terbantut apabila dia diberkas polis di Kampung Pengkelan Nyireh di sini semalam.

Serbuan polis pada pukul 12.45 tengah hari itu berjaya menahan suspek berusia 42 tahun yang ketika itu berada dalam keadaan mencurigakan di dalam kawasan semak di belakang sebuah rumah di perkampungan berkenaan.

Timbalan Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, pemeriksaan kemudiannya berjaya menjumpai 50 bungkusan air berwarna kehijauan dipercayai rebusan daun ketum.

“Setiap bungkusan air yang dirampas tersebut dianggarkan seberat 700 mililiter.

“Serbuan juga menjumpai 20 kilogram daun berwarna kehijauan disyaki daun ketum di dalam dua beg plastik berwarna oren,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azrol Anuar berkata, peralatan dapur yang disyaki digunakan untuk merebus air ketum turut dirampas.

Tambah beliau, nilai keseluruhan rampasan daun dan air ketum serta peralatannya dianggarkan bernilai RM1,850.

“Ujian air kencing suspek didapati negatif daripada pengaruh dadah dan dia direman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Buruh diberkas bersama pil kuda, syabu bernilai lebih RM33,000

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang buruh yang disyaki pengedar dadah berjaya diberkas polis di Jalan Tok Adis, Kuala Ibai di sini hari ini.

Suspek berusia 34 tahun ditahan di belakang pintu sebuah rumah di taman perumahan terbabit pada pukul 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pemeriksaan pada beg silang dipakai lelaki itu telah menjumpai 10 peket plastik mengandungi pil berwarna merah dan hijau dipercayai pil kuda.

“Selain itu, lima peket lain pula didapati mengandungi pil berwarna merah juga disyaki pil kuda.

“Pemeriksaan pada 10 plastik yang disimpan di dalam bungkusan surat khabar didapati mengandungi serbuk berwarna putih dipercayai dadah jenis syabu,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, serbuan turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Axia dan wang tunai bernilai keseluruhan RM200.

Beliau berkata, nilai kesemua sitaan termasuk dadah dianggarkan lebih RM58,000 dan ujian urin mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Semakan mendapati suspek memiliki tujuh rekod jenayah lampau dalam kes penyalahgunaan dadah, meragut dan mencuri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Empat beradik membujang demi orang tua

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Demi menjaga ibu bapa yang semakin uzur, empat adik beradik berusia 32 dan 42 tahun sanggup melupakan sementara impian untuk mendirikan rumah tangga dan memiliki keluarga sendiri.

Rosmawati Ngah, 42, berkata, dia dan tiga adiknya mahu me­numpukan sepenuh perhatian terhadap bapa mereka, Ngah Embong, 70, yang menderita sa­kit buah pinggang dan gout kronik sejak 20 tahun lalu.

Ibu mereka, Fatimah Chik, 66, pula terlantar berikutan tulang belakangnya patah selepas tergelincir di kandang lembu sejak setahun lalu. Tiga adik Rosmawati ialah Muhammad Adam, 32, Muhamad Rosli, 35, dan Rozila, 38.

“Tanggungjawab kami bertambah apabila ibu pula uzur sejak lebih setahun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Tepoh di sini baru-baru ini.

Rosmawati memberitahu, adik bongsunya, Muhammad Adam memilih untuk tidak be­kerja bagi menguruskan orang tua mereka sepenuh masa di rumah.

Rosmawati dan Rozila yang bekerja di kedai buku dan kedai serbaneka pula akan menjaga ibu bapa mereka sebaik habis syif kerja.

Muhamad Rosli menjaga bapa sekiranya tiada tugasan sebagai tukang rumah.

“Itulah rutin kami sejak puluhan tahun sehingga tiada masa memikirkan soal berumah tangga buat masa ini,” katanya.

Rosmawati memberitahu, kos perubatan dan ambulans untuk menghantar ibunya menjalani rawatan susulan ke hospital setiap bulan mencecah RM2,300.

Setakat ini bapa mereka mene­rima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM200 sebulan.

Sehubungan itu, Rosmawati merayu ihsan pihak berkaitan dan orang ramai untuk membantu meringankan beban mereka adik-beradik.

Orang ramai yang bersimpati boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 11001-41-00003065-3 atas nama Fatimah atau menghubungi Rosmawati di talian 011-2177 7752.

Tauke kantin termakan janji rugi RM131,000

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara terperdaya dengan sindiket penipuan atau scammer menerusi telefon, seorang pengusaha kantin sekolah kerugian RM131,000 pada akhir bulan lalu.

Lelaki berusia 48 tahun yang menyedari tertipu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 4.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, mangsa telah dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai sebuah bank pada pukul 3.10 petang, 31 Julai lalu.

“Suspek mendakwa akaun bank mangsa telah disalahguna oleh pihak tidak bertanggungjawab sebelum panggilan itu disambung pula kepada individu lain kononnya pegawai polis.

“Mangsa kemudannya didakwa kononnya dia sedang disiasat melakukan aktiviti pengubahan wang haram,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, suspek telah mengarahkan pengusaha kantin terbabit mendedahkan maklumat peribadi dirinya dan isteri kononnya bagi tujuan siasatan.

Tambah beliau, mangsa juga diarahkan memindahkan kesemua wang simpanannya ke tiga akaun bank berasingan diberikan kononnya untuk diaudit Bank Negara.

“Suspek didakwa menakut-nakutkan mangsa kononnya semua wang simpanannya akan dibekukan selain waran tangkap terhadapnya akan dikeluarkan sekiranya arahan tidak dipatuhi.

“Dia juga berjanji wang simpanan mangsa akan dipulangkan semula setelah proses audit selesai dalam tempoh tiga hari,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, September 3, 2024

Bancian Pertanian di Terengganu selesai 60.4 peratus

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Banci Pertanian yang dilaksanakan Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) sejak 7 Julai lalu telah mencapai 60.4 peratus di Terengganu, lebih tinggi berbanding peringkat nasional iaitu 44.3 peratus.

Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Terengganu merupakan negeri kedua tertinggi menyelesaikan bancian pertanian tersebut selepas Pulau Pinang yang kini sudah mencapai 65.3 peratus.

“Begitupun berbanding Pulau Pinang yang lebih kecil kawasan pertaniannya, Terengganu jauh lebih meluas dan meliputi semua daerah.

“Sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi Terengganu pada 2023 juga besar iaitu RM2.9 bilion,” katanya ketika meninjau kerja-kerja pembancian di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Tok Dor di sini hari ini.

Mohd. Uzir berkata, Banci Pertanian di Terengganu telah meliputi 55,819 tempat kediaman dan 342 entiti perniagaan yang mengusahakan pertanian, ternakan, perikanan serta pembalakan dan perkayuan di seluruh negeri ini.

Tambah beliau, daerah Hulu Terengganu sudah selesai membanci 75.1 peratus, Kemaman (72 peratus), Dungun (69.5 peratus), Kuala Terengganu (63.2 peratus) dan Besut (60.9 peratus).

“Setiu pula telah mencapai 53.1 peratus, Kula Nerus (46.1 peratus) dan Marang (45.1 peratus).

“Kita jangka mampu menyelesaian pembancian (pertanian) ini mengikut tempoh berbaki pada 10 Oktober depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tiga projek tebatan banjir manfaat 4,500 penduduk Terengganu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Kerajaan Persekutuan berjaya menyiapkan tiga projek tebatan banjir yang membantu mengurangkan impak banjir hampir 4,500 penduduk daerah ini, Setiu dan Kuala Terengganu.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, tiga projek tersebut telah dilaksanakan di Guntung Luar, Setiu; Gong Kiat; Kuala Terengganu dan muara Sungai Paka di sini.

“Ketiga-tiga projek tebatan banjir tersebut bernilai keseluruhan RM141.27 juta.

“Berdasarkan rekod, kejadian banjir tidak lagi berlaku di ketiga-tiga kawasan berkenaan sejak siapnya kesemua projek tersebut masing-masing pada tahun 2022 dan 2023,” katanya di Paka di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan tiga projek yang dikendalikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tersebut kepada kerajaan negeri Terengganu.

Akmal Nasrullah berkata, projek pemuliharaan muara Sungai Paka juga memberi manfaat kepada 110 nelayan tempatan yang sebelum ini menghadapi kesukaran untuk turun ke laut ekoran alur pelayaran tertutup disebabkan mendapan pasir.

Tambah beliau, dahulu muara Sungai Paka juga berhadapan dengan masalah hakisan serius ekoran sering dipukul ombak besar terutama pada musim tengkujuh.

“Kesemua isu tersebut diperbaiki dengan pembinaan pemecah ombak, pembaikan struktur muara sungai dan pembentukan semula pantai.

“Ia sekaligus mendalamkan semula alur pelayaran, membaiki hakisan dan mengatasi masalah banjir pantai di kawasan sekitar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Empangan Sabo dibina di Hulu Terengganu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Sebuah Empangan Sabo akan dibina di Hulu Terengganu bagi mengurangkan impak banjir luar biasa disebabkan fenomena kepala air yang menjejaskan daerah itu pada dua tahun lalu.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air , Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, projek bernilai kira-kira RM30 juta tersebut telah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

“Infrastruktur (empangan) Sabo tersebut bertujuan mengurangkan impak banjir disebabkan aliran puing.

“Ia kini dalam fasa pra pelaksanaan dan kerja-kerja pembinaan fizikal dijangka akan bermula pada tahun 2025,” katanya
di Paka di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan tiga projek tebatan banjir dikendalikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kepada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti, dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Zawawi Ismail.

Hulu Terengganu pernah dilanda banjir luar biasa disebabkan aliran puing dan kepala air yang turut menjejaskan struktur sekitar Empangan Kenyir pada Februari 2022.

Akmal Nasrullah berkata, infrastruktur Sado itu merupakan sebahagian 23 projek di bawah JPS yang diluluskan kerajaan Persekutuan di Terengganu.

“Ia membabitkan 18 projek sambungan dan lima projek baharu melibatkan peruntukan keseluruhan RM2.4 bilion,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pesara wanita rugi RM72,720 diperdaya pelaburan ‘Islamik’

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Gara-gara terpengaruh dengan iklan pelaburan ‘patuh syarak’ di media sosial, seorang pesara kerugian berjumlah RM72,720 awal bulan ini.

Wanita berusia 56 tahun itu hanya menyedari dia menjadi mangsa pelaburan tidak wujud apabila bukan sahaja mendapat keuntungan daripada pelaburan dibuatnya malah diarah membuat bayaran lain bagi caj tidak masuk akal.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Razman Setapa berkata, pada mulanya, mangsa melihat iklan pelaburan ‘Islamik’ sewaktu melayari Facebook anaknya pada 2 Ogos lalu.

“Dia kemudiannya menghubungi nombor telefon diberikan sebelum dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp oleh dua wanita yang mendakwa sebagai pengendali skim pelaburan tersebut.

“Mangsa yang diterangkan tentang skim pelaburan terbabit kemudiannya telah memulakan pelaburan dengan yuran pendaftaran RM300,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Razman berkata, pesara itu kemudiannya membuat pelaburan menerusi melakukan 15 pindahan wang ke enam akaun bank berbeza antara 5 Ogos hingga 15 Ogos lalu.

Tambah beliau, wanita tersebut menyedari tertipu apabila diminta membayar RM3,500 sebagai syarat untuk mengeluarkan keuntungannya.

“Saya menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan melakukan semakan sebelum menyertai mana-mana pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tauke agensi pelancongan rugi RM49,800 ditipu ‘rakan baik’

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Niat baik seorang pengusaha agensi pelancongan untuk membantu bertukar musibah apabila kerugian RM49,800 akibat ditipu individu yang menyamar sebagai rakan baiknya kelmarin.

Rakan lelaki wanita itu sebenarnya bukan sahaja tidak pernah memohon bantuan kewangan kepadanya malah kini berada di luar negara.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, mangsa berusia 63 tahun telah dihubungi oleh nombor telefon tidak dikenali yang mengaku sebagai rakannya.

“Suspek yang dikatakan memiliki suara seakan-akan rakan baik mangsa meminta untuk meminjam wang kononnya bagi urusan kecemasan.

“Dia berjanji kononnya akan memulangkan segera wang dipinjamkan itu setelah masalahnya selesai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, wanita itu yang bersimpati telah meminjamkan wang RM49,800 yang diminta suspek menerusi dua transaksi ke akaun bank diberikan.

Tambah beliau, mangsa bagaimanapun curiga apabila suspek yang disangka rakan baiknya tersebut sekali lagi meminta dia melakukan pinjaman wang.

“Mangsa kemudiannya menghubungi rakan baiknya itu menerusi nombor telefon diketahuinya.

“Ternyata bukan rakan lelaki itu yang kini berada di luar negara yang menghubungi dan meminjam wang dengan mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1.8 juta pengembara jalani saringan mpox sejak 16 Ogos

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Seramai 1.8 juta pengembara sama ada warga tempatan dan asing yang memasuki pintu masuk negara telah menjalani saringan jangkitan cacar monyet atau mpox sejak 16 Ogos lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, setakat ini tiada kes positif mpox dilaporkan di negara ini.

Beliau berkata, kali terakhir kes mpox dilaporkan di negara ini ialah pada Disember tahun lalu.

“Begitupun sangat mustahak untuk kita terus memantau dan tidak terlalu selesa kerana WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) telah mengisytiharkan mpox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam (PHEIC).

“Rakyat terutama yang baru pulang dari luar negara perlu bersiap siaga. Segera melakukan saringan dan mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran sekiranya bergejala,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan projek Hospital Dungun di sini hari ini.

Dzulkefly berkata, selain melakukan saringan di semua pintu masuk negara termasuk lapangan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah mengeluarkan pekeliling berhubung garis panduan menangani mpox.

Jelas beliau, ujian saringan mpox terbabit akan dilakukan di 13 makmal merangkumi lapan milik kerajaan dan lima swasta di seluruh negara.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan mpox sebagai PHEIC buat kali kedua pada 14 Ogos lalu berikutan peningkatan lebih 15,600 kes dan 537 kematian dilaporkan sejak awal tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Monday, September 2, 2024

Hospital Dungun beroperasi 1 Oktober depan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Hospital Dungun yang memiliki kemudahan 110 katil pesakit akan memulakan operasi secara rasmi pada 1 Oktober depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Hospital Dungun yang siap sepenuhnya pada 25 Jun lalu akan berfungsi sebagai hospital pakar minor.

Beliau berkata, ia menawarkan 11 bidang kepakaran seperti pediatrik, obstetrik dan ginekologi, ortopedik, anestesiologi, radiologi, psikiatri dan pergigian.

“Bangunan lama Hospital Dungun (di Jalan Paka) akan terus beroperasi menjadikan kapasiti katil pesakit meningkat kepada 218 buah.

“Secara keseluruhan Hospital Dungun akan memiliki empat dewan bedah dan enam katil ICU (unit rawatan rapi),” katanya ketika menghadiri majlis penyerahan Hospital Dungun di sini hari ini.

Dzulkefly berkata, pertambahan kemudahan dan bidang kepakaran tersebut akan mengurangkan rujukan pesakit ke hospital pakar lain iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Hospital Kemaman.

elas beliau, sebelum ini, ramai pesakit daerah ini perlu bergerak jauh ke Kemaman dan Kuala Terengganu untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan pakar.

“Masa menunggu pesakit untuk mendapatkan janji temu dengan klinik pakar di Hospital Dungun juga dapat dikurangkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE