Translate

Tuesday, October 24, 2023

Ustaz Kazim, Don penat nama sering dipetik sindiket pelaburan

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – “Saya sudah penat berdepan isu penggunaan nama serta gambar saya bagi tujuan pengiklanan pelaburan untuk memperdaya orang ramai yang semakin berleluasa di media sosial sejak tiga tahun lalu.” 

Itu luahan penceramah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias yang kecewa apabila nama dan gambarnya kerap dikaitkan dengan skim pelaburan ‘patuh syariah’ yang kononnya menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.­ 

Ustaz Kazim yang menafikan sekeras-kerasnya penglibatan dalam aktiviti haram itu memberitahu, tindakan sindiket penipuan terbabit menyebabkan mangsa-mangsa pelaburan yang terpedaya sering menghubungi beliau.

 “Terpinga-pinga saya apabila mangsa bertanyakan tentang dividen dan keuntungan mereka dalam pelaburan yang disertai. 

 “Saya sememangnya tidak tahu-menahu tentang perkara itu. Memang sedih kerana kebanyakan mangsa yang menghubungi saya itu terdiri daripada wanita warga emas,” katanya kepada Kos mo! semalam. 

Ustaz Kazim memberitahu, dahulu setiap kali dikaitkan dengan iklan pelaburan palsu, beliau akan membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). 

“Bagaimanapun, semakin banyak laporan (polis dan MCMC) dibuat, semakin banyak pula iklan berkaitan skim pelaburan menggunakan nama dan gambar saya bertebaran di media sosial,” ujarnya. 

 Tambahnya, pendekatan yang beliau ambil ketika ini adalah dengan membuat penafian di akaun media sosial miliknya setiap kali muncul iklan pelaburan palsu bagi mengelakkan lebih ramai mangsa yang tertipu. 

Sehubungan itu, Ustaz Kazim menasihatkan orang supaya berwaspada sebelum me lakukan sebarang pelaburan terutama di media sosial. 

Sementara itu, penceramah selebriti, Ustaz Don atau nama sebenarnya, Don Daniyal Don Biyajid, 39, turut mengakui dirinya sudah penat berdepan dengan isu yang sama. 

“Sudah banyak kali saya melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa termasuk MCMC. Saya juga acap kali terpaksa membuat penafian berhubung penglibatan dalam pelaburan yang kononnya ‘patuh syariah’ menerusi akaun media sosial.

 “Bagaimanapun, perkara ini masih tidak selesai, malah semakin banyak pula gambar saya digunakan bagi iklan pelaburan palsu di media sosial tanpa kebenaran,” ujarnya. 

 Ustaz Don memberitahu, beliau bernasib baik apabila masih belum pernah diganggu oleh mangsa-mangsa pelaburan palsu yang menuntut janji-janji manis yang ditabur pihak penganjur. 

“Tetapi saya sedih dan kasihan kerana mereka menjadi mangsa penipuan. Saya juga menjadi mangsa apabila nama dan gambar digunakan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak lain dengan cara menipu orang ramai,” katanya. 

Ustaz Don memohon pihak berkuasa sentiasa meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai modus operandi yang digunakan sindiket penipuan terutama pelaburan palsu yang menggunakan hadis dan ayat-ayat al-Quran untuk menjerat mangsa. 

 Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pihak yang menunggang agama menjanjikan keuntungan pantas 50 kali ganda nilai pelaburan dalam tempoh seawal tiga jam. 

 Kosmo! semalam melaporkan sindiket penipuan pelaburan semakin licik memperdaya orang ramai apabila menggunakan nama golongan agamawan popular dan dihormati kononnya sebagai duta mereka. 

 Bagi ‘memikat’ mangsa, sindiket terbabit mendakwa mereka menawarkan skim pelaburan kononnya patuh syariah dan menjanjikan pulangan 50 kali ganda dalam tempoh yang singkat. 

 Selain itu, penganjur skim pelaburan palsu itu turut menggunakan ayat-ayat al-Quran dan hadis yang telah dimanipulasi ketika menjawab pertanyaan daripada mangsa mereka. 

 Siasatan mendapati, sindiket terbabit aktif mempromosikan aktiviti mereka kepada orang ramai dalam media sosial seperti Facebook selain aplikasi WhatsApp dan Telegram.

No comments:

Post a Comment