Translate

Saturday, October 21, 2023

PRK Kemaman: Bersatu saran BN tidak bertanding

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyarankan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang dijadual berlangsung pada 2 Disember depan bagi mengelak parti itu menghadapi kekalahan lebih memalukan.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, BN sendiri sedar peluang untuk kembali merampas kerusi Parlimen Kemaman adalah amat tipis.

Beliau berkata, pengundi Terengganu termasuk Kemaman telah memberi signal jelas menolak BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu dan PRK Kuala Terengganu pada 12 Ogos lalu.

“Alasan penghakiman pembatalan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman adalah sama.

“Pas berjaya memperolehi majoriti yang lebih tinggi pada PRK Kuala Terengganu baru-baru ini walaupun meletakkan calon sama. Tidak mustahil, senario sama akan berlaku pada PRK Kemaman,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pada PRU15 November tahun lalu, Che Alias Hamid dari Pas mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman buat penggal kedua dengan majoriti 27,179 undi.

Beliau menewaskan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu selain Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) dan Rosli Ab. Ghani (Parti Pejuang Tanah Air).

Sehubungan itu, Razali berkata, BN masih belum terlambat untuk memutuskan untuk memberi laluan kepada calon Pas pada PRK Kemaman kelak sebelum hari penamaan calon pada 18 November depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berkata, sebagai sebahagian parti komponen kerajaan Perpaduan, sebaiknya BN memberi lebih tumpuan untuk persediaan banjir musim tengkujuh yang dijangka berlaku pada tempoh kempen PRK Kemaman terbabit. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment