Translate

Monday, October 16, 2023

Projek akuakultur LKIM stabil bekalan ikan tempatan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membantu nelayan tempatan melibatkan diri dalam industri hiliran penternakan ikan dalam sangkar bagi meningkatkan bekalan hasil laut tempatan.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan membantu meningkatkan pendapatan nelayan malah memastikan bekalan ikan dan hasil laut terus mencukupi untuk memenuhi permintaan terutama pada musim tengkujuh tidak lama lagi.

Beliau berkata, ia selaras dengan sasaran kerajaan memastikan industri akuakultur tempatan menyumbang 60 peratus daripada bekalan ikan nasional menjelang tahun 2030.

“Kita telah melakukan projek perintis dengan penglibatan nelayan termasuk di Kuala Besut di sini.

“Projek perintis penternakan ikan merah dan jenahak dalam sangkar diusahakan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Besut tersebut telah mula menampakkan hasil dengan pengeluaran 700 kilogram pada fasa pertama baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di Kompleks LKIM Kuala Besut di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan program Jualan MyAquaBest yang menjual pelbagai ikan termasuk merah dan jenahak sangkar berkenaan pada harga sehingga 30 peratus lebih murah daripada pasaran.

Muhammad Faiz berkata, selain PNK Kuala Besut, tujuh PNK lain turut terlibat dalam perusahaan akuakultur itu seperti Kijal; Satang Biru, Sarawak; Jasin, Melaka; Sedili, Johor dan Kerian, Perak.

Beliau berkata, projek perintis akuakultur LKIM turut memberi memberi tumpuan terhadap penternakan kupang, udang putih dan harimau serta ikan tilipia merah dan keli. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment