Translate

Saturday, October 21, 2023

Polis siasat peniaga kibar bendera Israel di Marang

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu membuka kertas siasatan berhubung tindakan seorang peniaga mengibarkan bendera Israel di premis perniagaannya di Bukit Payung, Marang di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Terenggganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, lelaki berusia 30-an tersebut telah tampil memberi keterangan berhubung kes tersebut.

“Berdasarkan maklum balas ahli keluarganya, mereka mendakwa lelaki tersebut memiliki masalah kesihatan mental selain rekod lampau melibatkan penyalahgunaan dadah.

“Siasatan terperinci dan menyeluruh sedang dilakukan termasuk melibatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu gambar bendera Israel dikibarkan di premis perniagaan terbabit tular di media sosial sejak Khamis lalu.

Perbuatan lelaki tersebut menimbulkan kemarahan netizen kerana seolah-olah menyokong Israel dan tidak sensitif dengan kekejaman yang sedang dialami rakyat Palestin pada masa ini.

Mazli berkata, perbuatan menaikkan bendera di premis perniagaan tanpa kebenaran merupakan kesalahan di bawah bidang kuasa PBT.

Jelas beliau, tindakan boleh diambil atas peruntukan mengikut kesalahan jenayah sekiranya ia didapati mampu mencetuskan huru-hara dan ketegangan awam. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment