Translate

Sunday, October 22, 2023

Dulu 600,000, kini cuma 200,000 pelancong ke Tasik Kenyir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tasik Kenyir, Hulu Terengganu yang telah menerima penarafan Taman Geopark Kebangsaan kesembilan baru-baru ini mengalami kemerosotan pengunjung lebih 60 peratus sejak tahun 2020.

Datuk Razali Idris (Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) – Kijal) berkata, seramai 208,097 pelancong mengunjungi Tasik Kenyir pada tahun 2020, 277,969 orang (2021) dan 246, 846 orang (2022).

“Kehadiran pelancong bagi tahun ini setakat bulan Julai lalu pula ialah 141,487 orang. Sebagai perbandingan, seramai 607,398 pelancong telah direkodkan telah mengunjungi Tasik Kenyir pada tahun 2019,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Mohd. Zawawi Ismail (Bersatu -Telemung) tentang usaha dilakukan kerajaan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Tasik Kenyir.

Razali berkata, pandemik Covid-19 yang berlaku pada awal tahun 2020 hingga awal 2022 telah memberi kesan besar terhadap kehadiran pelancong Tasik Kenyir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu tersebut berkata, kemerosotan tersebut didorong oleh penutupan sektor ekonomi dan sosial berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sewaktu penularan pandemik Covid-19.

“Kehadiran pelancong pada fasa peralihan epidemik juga tidak meningkat disebabkan kebimbangan mereka terhadap jangkitan penyakit pada masa itu ekoran kebanyakan aktiviti di Tasik Kenyir dilaksanakan secara berkumpulan di dalam rumah bot.

“Begitupun kita optimis keyakinan tersebut kini semakin meningkat dan kita telah merangka pelbagai acara dan program bagi menarik sehingga 300,000 pelancong ke Tasik Kenyir menjelang akhir tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment