Translate

Sunday, October 22, 2023

Hilang Pulau Perhentian: Telefon bimbit Suraidah, anak rosak terkena air

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Empat sekeluarga yang dikhuatiri hilang setelah gagal dihubungi sewaktu bercuti di Pulau Perhentian di sini sejak Sabtu lalu didapati telah keluar dari pulau peranginan pada kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohamad berkata, siasatan awal mendapati Suraidah Abdul Ghani, 52, anak lelaki dan dua cucunya telah mendaftar keluar dari sebuah resort di Pulau Perhentian Kecil pada pukul 8 pagi, Ahad lalu.

“Semakan televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati kenderaan Proton Saga yang dinaiki keluarga itu dikesan telah bergerak keluar dari pekan Kuala Besut menuju ke Jambatan Seberang Kastam di sini pada pukul 10.06 pagi, 1 Oktober lalu.

“Berdasarkan makluman daripada pengendali bot yang membawa mereka, keluarga tersebut dikatakan merancang untuk menyambung percutian di Batu Burok, Kuala Terengganu selepas itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Abdul Rozak berkata, pengendali bot memberitahu, telefon bimbit milik Suraidah dan anak lelakinya, Mohamad Aiman Mohd. Rafee, 21, tidak berfungsi akibat terkena air sewaktu bercuti di Pulau Perhentian.

Beliau memberitahu bot dinaiki Suraida dan tiga ahli sekeluarganya didapati telah tiba di Jeti Kuala Besut pada pukul 9 pagi, Ahad lalu.

“Begitupun, mereka masih gagal dihubungi dan dikesan setakat ini. Siasatan masih diteruskan untuk mengesan kesemua mangsa,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial tentang kerisauan ahli keluarga Suraidah setelah tiada berita tentang wanita itu, anaknya, Mohamad Aiman serta dua cucunya, Sasa Alesha, 7, dan Ahmad Dhani, Mohd. Saiful, 4, sejak Sabtu lalu.

Mereka dikatakan tiba di daerah ini dari Kluang dengan menaiki kereta Proton Saga berwarna biru pada Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment