Translate

Tuesday, October 24, 2023

Sindiket pelaburan palsu boleh didakwa di mahkamah syariah

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Perbuatan jenayah sindiket pelaburan palsu kononnya patuh syariah sebenarnya turut boleh didakwa mengikut undang-undang syariah. 

Ketua Unit Muamalat dan Naziran, Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara, Mohd. Syahrizal Syah Zakaria berkata, sebahagian negeri mempunyai peruntukan undang-undang untuk mendakwa kesalahan perbuatan termasuk melibatkan urus niaga yang memanipulasi agama Islam di mahkamah syariah.

 “Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) misalnya mempunyai peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan itu mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. 

“Antaranya Seksyen 4  akta itu berkaitan kesalahan mengemukakan doktrin palsu, Seksyen 6 (mengemukakan dakwaan palsu) dan Seksyen 7 (menghina agama Islam),” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini. 

Mohd. Syahrizal Syah berkata, akta tersebut boleh digunakan sebagai langkah penguatkuasaan memelihara kemuliaan agama Islam daripada dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab bagi kegiatan penipuan mereka. 

Begitupun, beliau mengakui bukan mudah untuk mensabitkan dalang penipuan pelaburan palsu dengan perundangan syariah. 

“Tatacara siasatan dan pembuktian kes di mahkamah syariah pada masa ini menyukarkan tindakan diambil. 

“Elemen kerohaniah dan metafizik juga sukar dibuktikan. Ini kerana institusi kehakiman syariah masih menjadikan bukti fizikal sebagai asas utama pembuktian,” katanya. 

Sehubungan itu, Mohd. Syahrizal Syah mencadangkan pindaan dilakukan bagi membolehkan bukti media sosial dijadikan asas pendakwaan di mahkamah.

elas beliau, keseragaman diperlukan memandangkan undang-undang syariah tertakluk di bawah kuasa kerajaan negeri. 

“Pindaan diperlukan bagi membolehkan sebarang keputusan mahkamah syariah melibatkan kes penipuan yang memanipulasi agama Islam tidak boleh dicabar,” katanya. 

Mohd. Syahrizal Syah berkata, berdasarkan undang-undang sivil, kes penipuan pelaburan palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 424 dan Seksyen 411 akta sama. 

Tambahnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup juga boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 18 Akta Perihal Dagangan 2011. 

Kosmo! sebelum ini melaporkan mengenai pelaburan patuh syriah yang menggunakan nama dan wajah pendakwah terkenal di negara ini.

No comments:

Post a Comment