Translate

Sunday, October 22, 2023

PRK Parlimen Kemaman: Pas nafi mahu calonkan Mahathir

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pas menafikan desas-desus kononnya akan mempertaruhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman tidak lama lagi.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini, parti tersebut belum lagi melakukan sebarang perbincangan berhubung PRK tersebut termasuk penentuan calon.

Beliau berkata, Pas baharu sahaja memutuskan untuk tidak merayu keputusan mahkamah yang membatalkan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu pada semalam.

“Kami pimpinan tertinggi (Pas) sebenarnya belum lagi berbincang persiapan menghadapi pilihan raya (PRK Parlimen Kemaman) terutama penentuan calon.

“Tarikh hendak berbincang pun belum ada lagi,” katanya ketika ditemui pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal yang mendakwa PAS berkemungkinan meletakkan Mahathir, 98, sebagai calonnya pada PRK Kemaman.

Sumber rapat bekas perdana menteri itu mendakwa rundingan tentang cadangan tersebut telah dimulakan dengan Pas.

Kosmo! 27 September lalu melaporkan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid di kerusi Parlimen Kemaman pada PRU15.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis memutuskan demikian selepas mendapati wujud unsur sogokan dilakukan Pas terhadap pengundi di kawasan Parlimen terbabit
sewaktu kempen PRU15. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment