Translate

Monday, September 19, 2016

THT muncul juara MHL 2016

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH

PASUKAN Hoki Terengganu (THT) membuktikan keunggulan mereka selepas menjuarai Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (MHL) buat kali ketiga berturut-turut.

Kejayaan terbaharu itu hadir selepas THT berjaya menewaskan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-1 pada aksi terakhir liga di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu semalam.

Kemenangan itu membolehkan THT muncul juara musim ini dengan mengumpul 22 mata, satu mata mengatasi Sapura yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Ketua jurulatih THT, Sarjit Singh memuji kerja keras serta kekuatan mental para pemainnya sehingga mampu merangkul kejuaraan liga musim ini.

“Saingan pada tahun ini amat sengit. Pada lima perlawanan awal, THT hanya mampu memungut tujuh mata tetapi selepas itu, kami berjaya bangkit.

“Menjadi juara adalah mudah tetapi untuk mempertahankannya buat kali ketiga-tiga berturut bukan tugas mudah,” kata Sarjit ketika ditemui selepas tamat perlawanan semalam.

Tiga gol THT pada perlawanan tersebut dijaringkan oleh Mohd. Fitri Saari, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan Ismail Abu.
TNB selaku naib juara Piala Tan Sri P. Alagendra 2016, meraih gol saguhati hasil jaringan padang Muhamad Ramadan Rosli.

Sementara itu, pengendali Sapura, Yahya Atan berpuas hati dengan kejayaan mereka untuk muncul naib juara, namun berikrar akan mencabar THT untuk memburu gelaran juara Piala TNB selepas ini.

“Kami masih ada satu peluang lagi dan kami akan cuba yang terbaik memenangi Piala TNB selepas ini,” jelasnya.

Sapura muncul naib juara selepas menewaskan Maybank 2-1 hasil jaringan Gurbaj Singh dan Phillip Ross Burrowa di Stadium Hoki Tun Razak, Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.

No comments:

Post a Comment