Translate

Sunday, September 18, 2016

Seorang remaja lemas, rakan masih hilang semasa mandi di Sungai Getang


HULU TERENGGANU – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun lemas manakala seorang lagi masih hilang selepas mandi di Sungai Getang, Kuala Berang dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, Muhammad Atiqullah Idris (gambar kecil) dan Abdul Hadi Abd. Ghani mandi di sungai berkenaan bersama enam rakan lain selepas menghadiri kenduri perkahwinan di Kampung Sungai Getang.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, mayat Muhammad Atiqullah telah dijumpai pasukan penyelamat tidak jauh dari lokasi mereka mandi pada pukul 7.20 malam.

“Operasi mencari Abdul Hadi yang merupakan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Telanai, Marang akan disambung semula pukul 7 pagi esok (hari ini).

“Mayat Muhammad Atiqullah  yang merupakan pelajar tingkatan dua SMK Bukit Sawa, Marang telah dihantar ke Hospital Hulu Terengganu di sini untuk bedah siasat,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Adli berkata, sebelum kejadian kedua-dua mangsa yang menetap di Kampung Pak Madah, Marang telah pergi ke maj­lis perkahwinan bersama enam lagi rakan mereka dengan menaiki motosikal di Kampung Sungai Getang.

Menurut beliau, sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing, mereka singgah mandi di Sungai Getang berhampiran.

“Sewaktu kesemua remaja itu asyik mandi, ke­dua-dua mangsa telah memasuki kawasan yang agak dalam lebih tiga meter kerana kerja-kerja menyedut pasir telah dijalankan di lokasi itu sebelum ini.

“Melihat Muhammad Atiqullah dan Abdul Hadi terkapai-kapai sebelum tenggelam, enam rakannya yang lain telah bergegas naik ke tebing sungai untuk meminta pertolongan,” katanya.

No comments:

Post a Comment