Translate

Tuesday, September 6, 2016

7 penyamun ikat, kurung 4 pengawal kebas RM1.14 juta

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Empat pengawal keselamatan pasar raya Sabasun 2 di Gong Badak di sini semalam diikat dan dikurung sebelum sekumpulan tujuh penyamun memecah dua buah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan tiga peti besi di dalam pasar raya tersebut.

Dalam kejadian pukul 2.15 pagi hingga 6.15 pagi, penyamun dipercayai warga asing itu berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM1.14 juta selepas berada di dalam premis tersebut lebih empat jam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, dalam tempoh empat jam itu, suspek-suspek dipercayai berpecah bagi  memecah dua buah mesin ATM dan tiga peti besi yang terdapat dalam pasar raya terbabit.

Menurut beliau, kumpulan penjenayah itu mengikat keempat-empat pengawal keselamatan sebelum mereka dikurung di dalam sebuah stor.

“Ketika kejadian ada empat pengawal keselamatan bertugas sebelum seorang daripada mereka terserempak dengan kehadiran kumpulan penjenayah ketika membuat rondaan,” kata beliau ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.

Abd. Aziz memberitahu, perompak itu melarikan wang dalam dua buah mesin ATM yang dipecah menggunakan gas Oxy-Acetylere manakala tiga buah peti besi itu pula dipecah menggunakan mesin pemotong besi.

Turut digunakan dalam rompakan itu ialah tukul besi dan kuku kambing. Mesin ATM yang dipecah itu membabitkan milik dua buah bank tempatan manakala tiga peti besi milik pasar raya terbabit.
Menurut beliau, kumpulan penyamun itu menutup suis televisyen litar tertutup (CCTV) dan alat penggera sebelum melakukan jenayah itu.

Kata beliau, polis yakin rompakan itu dirancang dengan teliti dan siasatan daripada semua sudut sedang dilaksanakan sama ada melibatkan pekerja mahupun bekas pekerja pasar raya berkenaan.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Mohd. Azwadi Arifin, 49, berkata, sebelum kejadian dia bertugas bersama tiga rakannya iaitu Yaakub Jusoh, 45, Mohd. Fatihi, 31, dan Nawi Deraman, 75.

“Sewaktu saya buat rondaan di belakang pasar raya, saya terserempak dengan tujuh lelaki tidak dikenali.

“Tanpa sempat berbuat apa-apa, seorang daripada lelaki itu meletakkan parang ke leher saya, kedua-dua belah tangan saya diikat sebelum saya dikurung dalam stor,” katanya ketika ditemui Kos­mo! di sini semalam.

Sejurus selepas itu, kata Mohd. Azwadi, dia nampak ketiga-tiga rakan sekerjanya pula dibawa masuk ke dalam stor dengan tangan mereka juga diikat.

“Saya, Fatihi dan Nawi kemudian diletakkan dalam stor itu dan dikawal dua daripada tujuh lelaki terbabit,” ceritanya.

“Semasa kumpulan itu berkomunikasi sesama mereka, kami bertiga tidak faham kerana mengesyaki mereka mungkin warga Vietnam atau Kemboja,” katanya.

 Nawi pula memberitahu, mereka berempat hanya dapat melepaskan diri dengan membuka ikatan di tangan masing-masing pada pukul 6.45 pagi iaitu kira-kira 15 minit selepas kesemua penjenayah terbabit meninggalkan mereka.

“Dua, tiga bulan lalu, seorang lelaki pernah tanya mengenai bilangan pengawal keselamatan yang berkawal di pasar raya ini pada setiap malam. Pada masa itu saya tidak syak apa-apa,” katanya.

No comments:

Post a Comment