Translate

Friday, September 9, 2016

Wanita hamil didakwa bunuh adik


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Seorang suri rumah Fathin Nur Athirah Sabarudin, 21, yang sedang hamil anak sulung dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh adik perempuan bongsunya berusia dua tahun tujuh bulan yang disyaki didera pada akhir bulan lalu.

Suaminya pula Muhammad Hafiz ID Osmera, 21, turut dituduh membunuh Nadzirah Nur Safiah Sabarudin antara 30 Julai dan 29 Ogos lalu.

Kedua-dua suspek yang berpakaian lokap sekadar mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hazwanie Hussain Bustari.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mona Shazwani Kamarul Zaman manakala kedua-kedua tertuduh diwakili peguam bela, Hafizul Faris Che Razlan.

Berdasarkan pertuduhan, perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah mereka di Jalan Tenggiri, Kampung Tebing Tembah, Paka di sini.
Fathin ialah kakak kandung kepada Nadzirah yang merupakan anak bongsu daripada lapan adik-beradik. 

Muhammad Hafiz pula bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang elektronik di Taman Industri Paka di sini. 

Kedua-kedua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Hazwanie tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan sebutan semula kes pada 9 Oktober depan.

Muhammad Hafiz dihantar ke Penjara Marang manakala Fathin yang sedang hamil lima bulan pula dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Kosmo! 31 Ogos lalu melapor­kan Nadzirah meninggal dunia dengan keadaan badan dipenuhi parut, luka dan lebam pada kepala, dahi, bibir serta kaki disyaki mangsa dera kakak kandung dan abang iparnya.

Difahamkan, sebelum mening­gal dunia, Fathin menghubungi ibunya, Norida Royani Sarifudin, 38, yang bekerja di Kuala Lumpur memberitahu adiknya terkena air panas namun tidak serius.

No comments:

Post a Comment