SETIU – Seorang tukang cat yang mahu memulakan kerjaya di tempat baharu ditemui maut dengan badan ditembusi sembilan peluru dalam kejadian di rumah bapa saudaranya di Kampung Jelapang, Sungai Tong dekat sini awal pagi semalam.
Semasa mayat ditemui pada pukul 4.30 pagi, Erdy Alias, 37, dikatakan berada seorang diri di rumah kayu yang terletak di dalam kebun getah kerana bapa saudaranya, Mohd. Zuki Nor, 37, yang juga tukang cat menziarah ahli keluarganya di Gong Badak, Kuala Nerus sejak Sabtu lalu.
Difahamkan, Erdy dari Kampung Kepas Dalam, Besut baru menumpang tinggal di rumah Mohd. Zuki pada 9 September lalu dan bekerja dengan bapa saudaranya itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, Mohd. Zuki yang belum berkahwin menemui mayat anak saudaranya dalam keadaan terbaring berlumuran darah di depan pintu rumah semasa mahu memasuki kediamannya.
“Pada mulanya Mohd. Zuki hairan kerana pintu rumahnya terbuka pada awal pagi sebelum dia dikejutkan dengan penemuan mayat anak saudaranya terbaring secara mengiring di depan pintu rumah,” kata beliau di sini semalam.
Menurut beliau, ekoran kejadian itu, Mohd. Zuki terus menghubungi polis untuk memaklumkan mengenai kematian anak saudaranya.
Wan Abd. Aziz memberitahu, pemeriksaan di rumah tersebut menjumpai beberapa anak peluru di tepi dinding dan pintu dapur selain sebutir kelongsong peluru di hadapan rumah berkenaan.
Katanya, siasatan awal mendapati sekurang-kurangnya dua pucuk pistol digunakan untuk menembak mangsa yang masih bujang.
Pemeriksaan forensik pula mendapati sembilan das tembakan tersebut masing-masing menembusi leher, lengan kiri, punggung, paha kiri, kaki kiri, dada kanan dan dada kiri mangsa.
Bagaimanapun, polis masih menyiasat motif kejadian tersebut.
“Semakan polis mendapati mangsa mempunyai tujuh rekod jenayah termasuk melibatkan penyalahgunaan dadah, ugutan jenayah dan mencederakan orang menggunakan senjata,” kata beliau.
Kes tersebut disiasat mengikut Seskyen 302 Kanun Keseksaan. Katanya, orang ramai terutama jiran-jiran yang mempunyai maklumat atau melihat kelibat individu tidak dikenali berada di kawasan tersebut pada hari kejadian diminta tampil membantu siasatan polis.
Sementara itu, seorang jiran mangsa, Azrul Azwan Mohamad, 30, mendakwa, kali terakhir dia melihat Erdy apabila pemuda itu menegurnya dari beranda rumahnya petang kelmarin.
Dia yang menyewa rumah terletak kira-kira 30 meter dari rumah tempat Erdy ditemui mati mendakwa tidak mendengar sebarang bunyi mencurigakan sepanjang awal pagi semalam.
“Erdy ada beberapa kali menyapa saya sejak dia menetap di rumah Pok Dek (Mohd. Zuki) lebih seminggu lalu tetapi kami tidak berapa mesra kerana sifat Pok Dek dan Erdy yang pendiam dan suka buat hal sendiri.
“Saya hanya mengetahui kes ini selepas Pok Dek memberitahu dan bertanya sama ada mendengar bunyi orang bergaduh di rumahnya sepanjang malam tadi (semalam),” katanya.
No comments:
Post a Comment