Translate

Wednesday, September 28, 2016

PDRM tiada maklumat sepupu tunang Gareth Bale sembunyi di Malaysia

KUALA NERUS - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai maklumat berhubung dakwaan sepupu tunang bintang bola sepak Real Madrid, Gareth Bale yang didakwa bersembunyi di negara ini selepas wanita itu menjadi buruan sindiket dadah.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, setakat ini, PDRM masih belum dihubungi oleh pihak berkuasa Britain berhubung kes melibatkan Epiphany Dring, 27, tersebut.
"Setakat ini kita belum dihubungi lagi. Kita hendak tengok fakta sebenar dan menunggu permohonan daripada pihak berkenaan (Polis Britain)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup Perkhemahan Kor Kadet Polis peringkat kebangsaan di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin di sini hari ini.
Noor Rashid berkata, sekiranya dakwaan tersebut berasas, tiga tindakan imigresen boleh diambil iaitu sama ada mengekstradisi wanita itu ke negara asal, mengusirnya keluar atau menahannya sebagai pendatang asing tanpa izin.
Portal Mail Online yang berpengkalan di Britain pada Ahad lalu melaporkan polis negara itu percaya Dring kini berada di Malaysia selepas menjadi buruan penjenayah setelah dipercayai melarikan wang berjumlah RM1.6 juta, sejumlah dadah dan jam mewah milik sindiket dadah terbabit. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment