Translate

Monday, September 26, 2016

Dua warga emas nyaris maut kereta dihempap bancuhan simen konkrit

KUALA TERENGGANU – Dua warga emas nyaris maut selepas kereta yang mereka naiki tiba-tiba dihempap oleh bancuhan konkrit yang tertumpah dari tingkat empat sebuah bangunan hotel yang masih dalam pembinaan di Jalan Kampung Cina di sini semalam.

Kereta Nissan Sunny dinaiki Wan Nawang Wan Mamat, 62, dan rakannya A. Rahman A. Hamid, 63, rosak teruk dengan kesemua cermin kenderaan tersebut pe­cah berikutan impak dihempap bancuhan simen dari ketinggian 16 meter itu pada pukul 11.30 pagi.

Kejadian bermula selepas bekas mengandungi bancuhan simen yang sedang diangkat dengan kren untuk kerja-kerja pembinaan projek menaik taraf sebuah hotel tiba-tiba terbuka lalu mengenai kereta dipandu Wan Nawang.

Selain itu, tiga buah kenderaan iaitu Honda Accord, Perodua Kancil dan Mazda CX5 yang diletakkan di kawasan meletak kenderaan berhampiran turut mengalami kerosakan.

Wan Nawang berkata, sewaktu kejadian, dia dan A. Rahman dalam perjalanan ke sebuah kedai yang terletak di Kampung Cina dari Pasar Payang di sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba saya terdengar bunyi kuat sebelum sesuatu menghempap bahagian atas kereta saya yang menyebabkan semua cermin pecah.

“Saya yang mengalami luka akibat terkena serpihan cermin terbabit panik terus membrek kecemasan. Mujur nyawa saya dan rakan (A. Rahman) tidak melayang,” katanya.

Wan Nawang berkata, keretanya yang rosak teruk itu kemudian ditunda ke rumahnya di Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus.

Dia yang bekerja sendiri berkata, selain menanggung kos penundaan kenderaan itu, pihak kontraktor pembinaan yang bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut juga berjanji akan menggantikan kereta baharu kepadanya sebagai ganti rugi dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment