Translate

Wednesday, September 7, 2016

Mayat jurukimpal disyaki lemas ditemui di tebing Sungai Dungun

DUNGUN – Mayat seorang jurukimpal dipercayai lemas ditemui di tebing batu Sungai Dungun di Kampung Sungai Buaya di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9.45 pagi itu, mayat Roslan Jusoh (gambar kecil), 55, ditemui di atas tebing batu sungai berkenaan oleh beberapa penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Abangnya, Shapii Jusoh, 65, berkata, dia terkejut dimaklumkan penemuan mayat adik kelapan dari sembilan beradik itu daripada salah seorang sepupunya pada pukul 10 pagi.

Dia membe­ritahu, sebelum kejadian, adik yang masih bujang keluar dari rumahnya di Jalan Teratai kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian dengan basikal selepas solat Subuh.

“Sebelum keluar rumah, dia tidak memberitahu kami apa-apa kerana memang sikapnya yang pendiam. Sejak dua minggu lalu, adik saya di­serang demam panas dan sakit pinggang hingga sukar untuk bangun namun semakin pulih semalam (kelmarin),” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Shapii berkata, walaupun reda dengan pemergian Roslan, dia sekeluarga tidak menyangka dan terkejut dengan kematian adiknya yang masih belum diketahui puncanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, mayat Roslan telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, setakat ini, punca kematian mangsa belum diketahui dan dalam masih dalam siasatan.

No comments:

Post a Comment