Translate

Friday, February 19, 2016

MBJB mohon kes saman vape dipindah ke Mahkamah Tinggi JB

KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini semalam untuk memindahkan kes tuntutan saman berhubung rampasan rokok elektronik atau vape milik anggota Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) yang difailkan pada hujung tahun lalu ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru (JB), Johor.

Peguam, Fadhil Ihsan yang mewakili MBJB berkata, permohonan itu dibuat dengan alasan serbuan terbabit berlaku di Johor Bahru selain kebanyakan saksi-saksi penting kes ini turut menetap di bandar raya itu.

“Oleh itu, kami berpandangan Mahkamah Tinggi Johor Bahru merupakan institusi yang paling sesuai untuk mendengar kes berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah di sini semalam.

Terdahulu beliau menghadiri prosiding pengurusan kes saman itu yang dijalankan secara tertutup di dalam kamar Hakim John O’Hara di sini semalam.

Sementara itu, Ikhlas selaku plaintif diwakili peguam, Zulhasmi Zakaria manakala Pendakwa Persekutuan, Norhashmanita Abdul Manap pula mewakili empat defendan lain iaitu Kementerian Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Ketua Polis Negara.

O’Hara menetapkan pendengaran hujahan permohonan yang dikemukakan MBJB itu pada 28 Mac depan.

Kosmo! pada 29 Disember 2015 melaporkan, saman itu dibuat susulan operasi bersepadu MBJB pada 15 Disember tahun lalu yang menyerbu dan merampas vape milik beberapa ahli Ikhlas hingga menyebabkan mereka kerugian kira-kira RM400,000.

No comments:

Post a Comment