Translate

Tuesday, February 23, 2016

Wujudkan Tribunal Khas putuskan hak jaga anak

MAHKAMAH Persekutuan pada 10 Februari lalu telah memuktamadkan pertikaian berhubung isu hak penjagaan dua kanak-kanak selepas bapa mereka bercerai dengan isterinya yang berlainan agama.

Panel lima hakim yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Tan Sri Md. Raus Sharif telah sebulat suara memutuskan anak perempuan berumur 11 tahun itu dipelihara oleh ibu beragama Hindu manakala anak lelaki berusia lapan tahun pula dijaga oleh bapa yang merupakan seorang mualaf.

Keputusan itu dibuat selepas meneliti kehendak kedua-dua beradik itu yang dipanggil secara berasingan dalam kamar hakim.

Walaupun keputusan itu jelas tidak menye­belahi mana-mana pihak dan selaras de­ngan Seksyen 88(3) Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976, ia tetap mencetuskan polemik kurang menyenangkan terhadap institusi kehakiman negara.

Pelbagai komen yang dibangkitkan itu dikhuatiri boleh menjejaskan imej institusi kehakiman baik sivil mahupun syariah.

Sekiranya terus dibiarkan, ia juga boleh mencetuskan salah faham me­ngenai agama Islam yang didakwa tidak bersifat adil.

Sebagai langkah untuk mengurangkan pertikaian tersebut, satu mekanisme yang lebih holistik perlu diambil bagi mengendalikan kes-kes pertikaian penjagaan anak berlainan agama pada masa depan.
Sebuah Tribunal Khas yang berperanan mencari penyelesaian secara baik bagi kes perebutan anak mungkin boleh ditubuhkan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, keanggotaan tribunal itu dicadangkan terdiri daripada kalangan hakim-hakim mahkamah sivil dan syariah.

“Ia boleh menjadi platform terbaik bagi panel hakim dari mahkamah syariah dan sivil untuk bersama-sama menyelesaikan kes penjagaan anak oleh ibu bapa berlainan agama demi kebajikan kanak-kanak terlibat.

“Pandangan dari segi perundangan sivil dan syariah boleh diambil kira dalam memuktamadkan setiap kes pertikaian berkenaan,” katanya baru-baru ini.

Jelasnya, penubuhan tribunal itu diyakini dapat menyelesaikan masalah yang biasa timbul membabitkan pasangan berlainan agama itu.

Menurut beliau, prasangka dari kedua-dua pihak yang menuntut anak dan masyarakat juga boleh dikendurkan menerusi tribunal berkenaan.

“Demi keselesaan kedua-dua pihak, prosiding tribunal khas itu tidak harus terlalu formal dan terikat dengan pelbagai prosedur seperti institusi kehakiman sedia ada,” ujarnya.

Bagi mencapai matlamat penubuhan tribunal tersebut, peruntukan undang-undang mengikut Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 perlu dipinda.

Antara isu yang perlu diberi perhatian dalam pindaan akta berkenaan ialah keperluan untuk memberi kebenaran kepada individu mualaf untuk membuat petisyen bagi membubarkan perkahwinan di mahkamah sivil.

Ini adalah kerana kes pertikaian hak penjagaan anak bagi pasangan berlainan agama perlu didengar di mahkamah sivil memandangkan sejarah perkahwinan mereka didaftarkan di institusi tersebut.

Natijahnya, tuntutan untuk mendapatkan hak penjagaan anak tersebut hanya boleh difailkan oleh se­belah pihak sahaja iaitu pasangan yang tidak beragama Islam.

Begitu juga jika tuntutan hak penjagaan anak itu difailkan di mahkamah syariah. Mahkamah itu hanya boleh mendengar keterangan daripada pasangan bukan Islam tetapi tidak menganggap individu berkenaan sebagai satu pihak dalam pendengaran tersebut.

No comments:

Post a Comment