KUALA LUMPUR – Seorang pengusaha ladang kelapa sawit dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas kesalahan memberi latihan ketenteraan kepada individu yang bersedia untuk melibatkan diri dalam aktiviti militan Islamic States (IS) tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Mohamad Sharif Abu Samah menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh, Muamar Gadaffi Mohamad Shafawi, 32, menukar pengakuan kepada bersalah setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Pada 11 Julai 2014, Muamar Gadaffi mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar sebelum kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.
Mohamad Sharif dalam penghakimannya berkata, tempoh penjara yang diberikan tersebut mencukupi untuk memberi kesedaran dan keinsafan kepada tertuduh bagi memperbetulkan diri daripada mengulangi perbuatan yang mengancam keselamatan negara berkenaan.
Beliau turut menasihati Muamar Gadaffi yang juga merupakan bapa kepada dua anak agar bermuhasabah diri dan melakukan taubat nasuha bagi menyesali kefahamannya tentang jihad yang telah jauh terpesong daripada ajaran agama Islam.
Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya, Robert Pasang Alam dan Noor Syazwani Mohamad Sobry manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Amirul Ramli.
Dia didakwa mengikut Seksyen 130F(c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, Muamar Gadaffi yang ditahan di Sandakan, Sabah pada pukul 6.42 pagi, 13 Jun 2014 didapati membuka dua akaun Facebook menggunakan nama ‘Iskandar Dzulquranain IS’ dan ‘Ammar Rasuli Al-Jihadi’ untuk menyebar dan menerapkan ideologi militan IS secara aktif.
Dia juga menerapkan ideologi militannya seperti perlu mengangkat senjata bagi tujuan berjuang dan membantu orang Islam tertindas di Syria, Rohingya, Myanmar; Patani, Thailand; Palestin dan selatan Filipina serta mendakwa individu yang mati dalam perjuangan jihad berkenaan akan menerima ganjaran tersenyum bersama-sama dengan 70 bidadari di syurga kepada beberapa orang rakan di Bukit Ara Para, Kampung Ketior Dalam antara pukul 2 petang dan 4 petang dari 25 Disember hingga 27 Disember 2013.
Tertuduh turut memberi latihan ketenteraan kepada rakan-rakannya dengan mengajar mereka cara-cara melepaskan tembakan ke arah sasaran menggunakan senapang buatan sendiri.
No comments:
Post a Comment