Translate

Thursday, February 4, 2016

Dijel lima hari curi petai, pelbagai barang dapur

KUALA LUMPUR – Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri 60 barangan dapur berjumlah RM1,493.87 dari pasar raya besar Aeon Maluri di sini pada Sabtu lalu.

Majistret Husna Dzulkifly memerintahkan S. Rathiga, 35, yang menetap di Flat Jalan Cheras di sini membayar denda RM400 atau dikenakan hukuman penjara tambahan selama empat bulan sekiranya gagal membayar.

Rathiga yang merupakan seorang pekerja am membayar denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikri Jaafar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan, Rathiga didakwa mencuri barang-barang dapur berkenaan yang diisi di dalam dua troli di pasar raya besar Aeon Maluri, Cheras di sini pada pukul 2.30 petang, 30 Januari lalu.

Antaranya ialah asam jawa, susu cair, tomato, bawang merah, sekampit beras basmati, mi segera, lobak merah, air kacang soya, ikan tenggiri, lala, kepala ikan, epal hijau, peluntur jenama Clorox, petai, coklat jenama Kit Kat, pisau cukur dan minyak masak.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, seorang pengawal keselamatan telah bertindak menahan tertuduh yang sedang menolak dua buah troli yang penuh dengan barang dalam keadaan mencurigakan di kawasan tempat letak kereta pasar raya besar berkenaan.

Rathiga yang gagal menunjukkan resit pembayaran telah ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Cheras di sini untuk tindakan lanjut.

No comments:

Post a Comment