Translate

Thursday, February 4, 2016

Pengusaha taska jual perniagaan, kereta sokong IS

KUALA LUMPUR – Seorang pengusaha taska yang sanggup menjual perniagaan serta kereta semata-mata untuk menyertai kumpulan pengganas, Islamic States (IS) di Syria dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahim memutuskan demikian selepas Nazhatulshima Sahak, 44, mengaku salah dalam kea­daan menangis teresak-esak di dalam kandang pesalah atas pertuduhan cuba memberi sokongan kepada IS.

“Menyokong IS merupakan kesalahan serius dan kamu tiada alasan mengatakan tidak mengetahui kegiatan militan yang didalangi kumpulan itu kerana ia telah tersebar secara meluas. Kamu bernasib baik tidak sempat pergi ke Syria kerana hukuman untuk kesalahan itu jauh lebih berat,” katanya dalam penghakimannya di sini semalam.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam bela, Farida Mohammad.

Berdasarkan pertuduhan, Nazhatulshima yang menetap Klang, Selangor didakwa cuba memberi sokongan kepada IS dengan membeli tiket penerbangan pesawat Emirates dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Istanbul, Turki dalam percubaan untuk memasuki Syria bagi manfaat kumpulan pengganas itu di Restoran Hakim Sdn. Bhd., Seksyen 7, Shah Alam, Selangor pada pukul 10.50 malam, 13 Oktober 2014.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah memaklumkan keinginannya untuk berpindah ke Syria kepada suami, Amir Azlan Zainuddin dan dua anak mereka berusia 21 dan 23 tahun kerana terpengaruh dengan perjuangan IS selepas menonton satu video dari laman Youtube pada Ogos 2014.

Pada 29 September 2014, dia telah memberikan wang tunai RM7,500 kepada dua lelaki bagi tujuan untuk membeli tiket penerbangan ke Istanbul, Turki yang dijadualkan pada 16 Oktober 2014 bagi tujuan memasuki Syria.

Tertuduh juga bertindak menjual dua perniagaan miliknya iaitu Tadika Kelip-Kelip Comel dan Taska Kelip-Kelip Comel yang telah diusahakan selama 13 tahun pada nilai RM70,000 selain sebuah kereta Perodua Myvi berharga RM10,000 sebagai persiapan untuk berpindah ke Syria.

Nazhatulshima kemudiannya telah ditahan polis bersama-sama suaminya, dua anaknya serta dua lagi lelaki ketika mengadakan pertemuan dengan dua rakyat negara ini yang pernah menyertai IS di Syria di Restoran Hakim.

Suami tertuduh, Amir Azlan, 48, turut telah dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini atas kesalahan sama pada Selasa lalu.

No comments:

Post a Comment