Translate

Friday, February 19, 2016

Anggota polis antara didakwa rompak syarikat pengurup wang

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor antara dua individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan ke atas sebuah syarikat pengurup wang pada ming­gu lalu.

M. Ruben, 30, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara dan N. Pugunaswary, 40, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shamsuddin Abdullah.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompak berkumpulan ke atas sebuah beg yang mengandungi wang tunai berjumlah RM620,000 milik syarikat pengurup wang, Spectrum Forex di Jalan Maarof, Bangsar di sini pada pukul 12.20 tengah hari, 10 Februari lalu.

Ruben dan Pugunaswary yang merupakan pekerja Spectrum Forex didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam bela, Datuk Geetham Ram Vincent dan S.S. Ruban,

Shamsuddin membenarkan ke­dua-dua tertuduh masing-masing dibebaskan dengan wang jaminan RM10,000 dan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 25 Februari depan.
Beliau juga memerintahkan Ruben dan Pugunaswary melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Klang Utara pada setiap bulan.

Ruben yang menetap di Klang, Se­langor dan Pugunaswary yang tinggal di Jalan Mushi Abdullah di sini membayar wang jaminan tersebut.

No comments:

Post a Comment