KLANG - Mayat seorang remaja lelaki yang terjatuh dari sebuah tongkang ketika sedang memancing kelmarin dijumpai terapung di muara Sungai Kapar Besar berhampiran jeti Stesen Janaelektrik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Kapar dekat sini semalam.
Mayat Mohd. Rashid Ruslan , 16, dijumpai anggota Maritim Malaysia (APMM) pada pukul 9.43 pagi kira-kira 15 jam selepas dia dilaporkan hilang.
Pegawai Koordinasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Daerah Maritim Klang, Leftenan Madya Maritim Mohd. Reduan Che Kamaruddin berkata, mangsa telah terjatuh dari sebuah tongkang pada pukul 6.30 petang kelmarin sewaktu sedang memancing kira-kira 60 meter dari lokasi mayatnya ditemui.
"Mangsa bersama adik lelakinya yang berusia 11 tahun dan seorang rakan sebaya dikatakan memancing di tempat kejadian sebelum tongkang tersebut terbalik.
"Rakan dan adik mangsa sempat berpaut pada tongkang sebelum diselamatkan beberapa nelayan yang berada berhampiran," katanya di sini semalam.
Ujarnya, sepasukan anggota APMM telah melancarkan operasi mencari di kawasan perairan sekitar sejak pukul 7 petang kelmarin.
"Sewaktu ditemui, mayat mangsa masih dalam lengkap berpakaian namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai," katanya.
Mohd. Reduan memberitahu, jenazah Mohd. Ruslan telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk dibedah siasat.
No comments:
Post a Comment