SHAH ALAM - Pelakon Hanez Suraya dan kekasihnya, Romei Razin Adilha Abd. Jais memfailkan saman malu terhadap Penerbangan Malaysia (MAS) di Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Peguam artis wanita itu, Harjit Saidu berkata, anak guamnya mendakwa kakitangan syarikat penerbangan nasional tersebut telah mendedahkan keratan tiket penerbangan dia dan kekasihnya ke Bangkok, Thailand pada 20 April lalu.
"Berikutan itu, gambar keratan tiket penerbangan tersebut telah dimuat naik ke sebuah akaun laman rangkaian sosial, Facebook.
"Gambar itu menerima lebih 1,000 komen negatif berunsur cemuhan dan cacian yang dilemparkan kepada kedua-dua anak guam saya (Hanez Suraya dan Romei Razin Adilha)," katanya selepas memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Turut hadir Hanez Suraya atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abdul Aziz, 29.
Sebelum menaiki pesawat terbabit, mereka telah menyerahkan keratan tiket penerbangan kepada petugas yang memakai pakaian seragam MAS .
Hanez Suraya dan kekasihnya menyedari imej keratan tiket penerbangan tersebut telah dimuat turun ke akaun Facebook 'Kami sokong Liyana Manan' setelah dimaklumkan beberapa kenalan mereka beberapa jam selepas mendarat di Bangkok.
Harjit Saidu berkata, anak guamnya merasakan penyebaran keratan tiket penerbangan itu melanggar Akta Pelindungan Data Peribadi 2010.
Ujarnya, defendan masih gagal memberikan surat penjelasan yang diminta plaintif sehingga 12 Mei lalu seperti dipersetujui dalam pertemuan dengan pegawai MAS pada 24 April lalu.
"Tindakan saman malu terhadap defendan bagi menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk serta faedah dan kos yang bakal ditentukan oleh mahkamah," katanya.
Sementara itu, Hanez Suraya yang popular dengan drama rantaian Love You Mr. Arrogant dan Dalam Hati Ada Taman berkata, tindakan memuat naik imej tiket penerbangan berkenaan ke laman sosial itu merupakan pencerobohan terhadap kehidupan peribadi dan mengancam keselamatannya.
Selain itu, penyebaran imej terbabit secara meluas di laman sosial, blog dan akhbar tempatan telah menyebabkan dia dan kekasihnya mengalami tekanan emosi.
No comments:
Post a Comment