Translate

Thursday, May 8, 2014

Bunuh pegawai AmBank, 35 saksi bakal beri keterangan

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini semalam dimaklumkan seramai 35 individu bakal dipanggil oleh pihak pendakwaan untuk memberi keterangan berhubung kes seorang pengawal keselamatan warga Indonesia yang dituduh membunuh pegawai AmBank wanita yang bermotifkan rompakan di Subang Jaya dekat sini pada Oktober tahun lalu.
Hakim Datuk Akhtar Tahir diberitahu, antara saksi pendakwaan yang akan memberi keterangan ialah seorang pengawal keselamatan yang sepatutnya bertugas pada hari kejadian tetapi bercuti sebelum digantikan tertuduh, La Ode Ardi Rasila (gambar), 37.

Ketua Unit Pendakwaan Selangor, Mohd. Azari Harun memberitahu  mahkamah , pengurus bank AmBank cawangan USJ Sentral 2, penyelia pengawal keselamatan, tiga rakan sekerja mangsa, Norazita Abu Talib, 37, dan suaminya antara individu yang turut memberi keterangan dalam perbicaraan yang akan berlangsung selama lima hari bermula 23 Jun depan.

Akhtar juga memerintahkan pihak pendakwaan mengemukakan barang kes dalam kejadian tersebut kepada mahkamah  semalam bagi tujuan pelabelan. 

La Ode menghadapi dua pertuduhan iaitu membunuh dan melepaskan tembakan terhadap Norazita di premis AmBank cawangan USJ Sentral 2, Subang Jaya dekat sini antara pukul 6 petang dan pukul 6.30 petang 23 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan membunuh Norazita, tertuduh yang berasal dari Sulawesi, Indonesia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. 

La Ode yang diwakili peguam S. Selvi turut menghadapi pertuduhan melakukan rompakan dan melepaskan tembakan menggunakan pump gun dengan niat untuk menyebabkan kematian ke atas mangsa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 yang juga memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam kejadian pada 23 Oktober lalu, Norazita yang merupakan pegawai di bank berkenaan maut akibat kecederaan di kepala setelah ditembak seorang pengawal keselamatan ketika membuka peti besi di bilik kebal bank tersebut.

Pengawal keselamatan itu kemudian melarikan diri bersama wang tunai berjumlah RM450,000 sebelum ditangkap polis selepas 19 hari bersembunyi di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor pada 10 November lalu.

No comments:

Post a Comment