Translate

Tuesday, May 6, 2014

Dua graduan Icam jalani latihan di Portugal

SHAH ALAM - Dua graduan cemerlang Kolej Automotif Antarabangsa ( Icam ) akan dihantar Kumpulan  DRB -Hicom untuk menjalani latihan industri selama enam bulan di kilang pemasangan Volkswagen Autoeuropa di Palmera,  Portugal  bermula Sabtu ini.

Pengarah Urusan Kumpulan  DRB -Hicom, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil berkata, dua graduan tersebut ialah Aziz Taib, 46, dan Najla Dyana Amira Najmi, 21, masing-masing memiliki Diploma Program Pemasangan Kenderaan Automotif dan Diploma Sistem Pengurusan Automotif  Icam .

"Kedua-dua graduan ini merupakan perintis kepada program penghantaran graduan  Icam  untuk menjalani latihan industri dengan syarikat automotif terkemuka dunia di luar negara.

"Mereka telah memenuhi kriteria ditetapkan rakan kongsi  DRB -Hicom bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam industri automotif," kata beliau pada majlis khas program latihan industri  Icam  tersebut di Glenmarie di sini semalam.

Mohd. Khamil berkata, Aziz dan Najla Dyana juga merupakan kakitangan anak syarikat  DRB -Hicom, Hicom Autofacturers (M) Sdn. Bhd. (HAMM) yang terlibat dalam pemasangan tempatan kenderaan Volswagen untuk pasaran negara ini.

Menurut beliau, sepanjang menjalani latihan industri di  Portugal , kedua-dua graduan itu akan mempelajari teknologi pembuatan kenderaan dan budaya kerja Volkswagen.

Sementara itu, Aziz yang merupakan Eksekutif Jaminan Kualiti HAMM berkata, pengalaman menjalani latihan industri di kilang Volkswagen merupakan ganjaran berharga sepanjang 20 tahun berkhidmat di  DRB -Hicom.

"Sebelum ini saya diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di  Icam . Saya berjanji tidak akan mensia-siakan kepercayaan ini," katanya.

No comments:

Post a Comment