Translate

Tuesday, May 27, 2014

Pengawal dituduh bunuh pemandu lori

KLANG - Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh seorang pemandu lori dalam satu pergaduhan perkumpulan di Taman Sentosa di sini pertengahan bulan ini.

 G.   Rajasekaran , 29, turut menghadapi dua pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap dua individu lain dalam kejadian sama di Mahkamah Sesyen di sini.

Dalam prosiding di hadapan Majistret Mohd. Fadzly Yaacob, tertuduh yang juga bekas tahanan Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor didakwa membunuh M. Ganesan, 31, pada 13 Mei lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh dan beberapa individu yang masih bebas telah menyerang mangsa di antara pukul 1.30 pagi hingga 2 pagi dengan senjata berbahaya hingga menyebabkan kematiannya di Jalan Dato Abdul Hamid 20, Taman Sentosa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan oleh  Rajasekaran  selepas dia mengaku memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mohd. Fadzly memerintahkan sebutan semula kes berkenaan pada 16 Julai depan.

Sementara itu, di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar pula,  Rajasekaran  menghadapi dua pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada dua beradik, P. Jegathesan, 43, dan P. Mohan, 41.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia dan beberapa individu yang masih bebas telah menyerang dua lelaki terbabit dengan senjata berbahaya di lokasi dan masa sama Ganesan dibunuh.

 Rajasekaran  yang mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tasnim yang tidak membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan dan memerintahkan sebutan semula kes berkenaan pada 26 Jun depan.

No comments:

Post a Comment