Translate

Thursday, May 15, 2014

Didakwa lupus harta curi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


KLANG – Seorang pemandu peribadi seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 484 tuduhan melupuskan harta curi bernilai lebih RM600,000 kira-kira dua tahun lalu.
Tertuduh, Saidina Azzuanira Saidina Othman, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika kesemua pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Fadhly Yaacob.
Mengikut kesemua pertuduhan,   Saidina    Azzuanira  didakwa memindahkan wang tunai berjumlah RM643,897.42 yang terdapat di dalam akaun syarikat miliknya, Maidina  Othman  Trading ke akaun-akaun simpanan peribadinya yang lain di Bank Hong Leong cawangan Pelabuhan Klang dari 3 Januari 2012 hingga 30 Januari 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga tujuh tahun serta denda bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah Abdul Latiff kemudian tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana kes tersebut melibatkan pertuduhan dan jumlah kerugian yang banyak.  

Saidina Azzuranira yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar dibebaskan dengan wang jaminan yang berpatutan dengan alasan perlu menyara keluarga.

Mohd. Fadhly kemudian menetapkan agar tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin selain memerintahkan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk didengar bersama kes pecah amanah isterinya yang dijadual berlangsung hari ini.

Kosmo! 22 Jun 2013 melaporkan isteri kepada   Saidina   Azzuranira, Mai Shahira Ishak, 37, didakwa melakukan pecah amanah dengan membuat pembayaran menggunakan 489 keping cek bernilai RM647,445 kepada Maidina  Othman  Trading milik suaminya itu yang diketahui oleh tertuduh tiada hubungan perniagaan dengan majikannya, UTI Worldwide (M) Sdn. Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lorong Batu Nilam 1A, Bandar Bukit Tinggi, Klang antara 31 Disember 2011 dan 30 Januari tahun lalu.

Bekas eksekutif akaun itu pada mulanya mengaku salah ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 14 Jun 2013 namun membuat kejutan apabila menukar pengakuan kepada tidak bersalah di mahkamah sama ketika sebutan semula dilakukan pada 21 Jun 2013. 

Mai Shahira memberi alasan yang dia berasa takut ketika dihadapkan ke mahkamah buat pertama kali hingga mendorongnya mengaku bersalah atas kesemua tuduhan tersebut.

No comments:

Post a Comment