Translate

Friday, May 30, 2014

Kerajaan berjaya jimat RM2 bilion

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Kerajaan berjaya melakukan penjimatan sebanyak RM2 bilion hasil daripada pelaksanaan amalan  pengurusan   nilai  terhadap projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) sejak empat tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Abdul  Wahid  Omar (gambar) berkata, secara puratanya, konsep tersebut telah berjaya mengurangkan 11 peratus daripada unjuran asal kos projek pembangunan berkenaan.

"Pengenalan konsep  pengurusan   nilai  terhadap projek pembangunan kerajaan yang bernilai RM50 juta ke atas sejak September 2010 mula menampakkan kesannya.

"Ia menjadi panduan kepada kakitangan kerajaan bagi pelaksanaan setiap projek pembangunan mengikut bajet dan objektif yang ditetapkan tanpa sebarang pembaziran tidak perlu," katanya selepas merasmikan Seminar Amalan Baik Industri Pembinaan Kebangsaan Keenam di sini semalam.

Turut hadir Presiden Institut  Pengurusan   Nilai  Malaysia, Datuk Abdul Nasir Abdul Razak.

Pengurusan nilai adalah sistem yang digunakan untuk meminimumkan sesuatu harga dan mengoptimumkan sesuatu kos projek, sistem dan kemudahan.

Abdul Wahid yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi berkata, kos setiap projek pembangunan di bawah RMK-10 telah berjaya dijimatkan antara lima peratus hingga 95 peratus menerusi amalan  pengurusan nilai.

Jelasnya, sebagai contoh, pengurangan kos sehingga 95 peratus terhadap sesetengah projek pembangunan itu berikutan penilaian semula projek menerusi pengurusan   nilai telah mendapati ia boleh dilaksanakan tanpa pembinaan baharu tetapi sekadar menggunakan infrastruktur sedia ada.

"Kita juga bercadang untuk terus mengamalkan konsep  pengurusan   nilai  pada projek pembangunan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) yang akan dilancarkan tidak lama lagi," katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul  Wahid  mengalu-alukan usaha untuk memperkembangkan amalan tersebut dalam kalangan sektor swasta.

No comments:

Post a Comment