Translate

Sunday, January 16, 2011

Safee akur


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BIARPUN hatinya meronta-ronta untuk menimba pengalaman pada liga bola sepak luar negara, penyerang sensasi negara, Mohd. Safee Mohd. Sali akur sekiranya pengurusan Selangor terus berkeras tidak mahu melepaskannya.

Penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010 itu berkata, dia berkemungkinan memilih untuk terus beraksi dengan Selangor sehingga tamat kontrak pada akhir tahun ini.

“Sekiranya perundingan rasmi ketiga-tiga kelab Liga Indonesia dengan pengurusan Selangor yang sedang berlangsung sekarang menemui kegagalan, saya harus menghormati perjanjian yang telah dibuat dengan Selangor.

“Namun selepas itu, saya akan terus berusaha untuk mengintai peluang semula bermain di luar negara kerana ingin belajar sesuatu yang baru,” luah Mohd. Safee.

Mohd. Safee ditemui ketika dirai oleh lebih 3,000 penduduk sekitar Tapah dalam majlis khas sempena kepulangannya ke kampung halaman anjuran Persatuan Bola Sepak Batang Padangdi Stadium Mini Tapah semalam.

Tiga kelab Indonesia yang berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang berusia 27 tahun itu ialah Persib Bandung, Balik Papan dan Pelita Jaya.

Dalam pada itu, Mohd. Safee meluahkan keinginan untuk menabur bakti bermain untuk skuad Perak sebelum mengakhiri kariernya sebagai pemain bola sepak.

“Selepas menimba pengalaman di luar negara, saya berniat untuk menyarung jersi Perak, negeri saya dibesarkan dan mendapat pendedahan awal bola sepak,” katanya.

Pada majlis sama, dia menerima ganjaran RM10,000 yang dijanjikan kerajaan negeri Perak berikutan kejayaan menjulang Piala Suzuki AFF 2010 daripada Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Belia dan Sukan Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Turut menerima insentif tersebut ialah pemain pertahanan negara, Sabre Mat Abu, 23, dan Fadhli Shas, 19, yang masing-masing menerima wang tunai RM5,000 sementara jurulatih penjaga gol negara, Fauzi Mukhlas pula meraih RM3,000.

Bagaimanapun, Fadhli tidak dapat hadir kerana mempunyai komitmen dengan skuad Harimau Muda A.

Terdahulu, Mohd. Safee, Sabre dan Fauzi diarak dengan menaiki sebuah kereta antik model Triumph TR4 dengan diiringi lebih 100 motosikal berkuasa tinggi sejauh kira-kira enam kilometer dari rumah ibu bapa Mohd. Safee di Temoh, Tapah.

2 comments:

  1. Arief,

    safee dah 27 tahun. kalau asyik tertangguh, takut kempunan nanti...

    ReplyDelete