Translate

Saturday, January 8, 2011

Tidak serik datang ke Malaysia


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH– Mangsa terakhir yang terselamat dalam nahas terburuk negara di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini pada 20 Disember lalu dibenarkan keluar dari wad Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.

Achara Wiwat, 36, yang mengalami cedera parah di kaki kanan, pinggul, lutut dan jangkitan paru-paru dibenarkan pulang setelah keadaannya dilaporkan semakin stabil.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Mah Hang Soon berkata, wanita warga Thailand itu dibawa pulang dengan menaiki ambulans menerusi sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Sebaik tiba di sana nanti, Achara disambut oleh pegawai perubatan Hospital Hatyai, Thailand dan akan menjalani rawatan fisioterapi di hospital tersebut,” katanya selepas menziarahi Achara sebelum wanita itu dibenarkan keluar wad di sini semalam.

Achara yang berasal dari Bangkok, Thailand sebelum ini ditempatkan di wad biasa HRPB.

Turut menemani Hang Soon ialah Timbalan Pengarah HRPB (Klinikal), Dr. Rahimi Goon.

Hang Soon memberitahu, Achara dijangka pulih sepenuhnya termasuk mampu berjalan dalam tempoh tiga bulan.

Sementara itu, Achara ketika ditemui mengucapkan penghargaan kepada kakitangan hospital tersebut yang komited bertungkus-lumus menyelamatkan nyawanya selepas terbabit dalam insiden tersebut.

“Saya berasa berpuas hati dengan layanan yang diberi sepanjang dirawat di hospital ini. Memang peristiwa nahas yang turut mengorbankan 26 rakan senegara memberi kesan mendalam.

“Saya sedang berusaha untuk memadam memori hitam itu namun tidak serik untuk kembali ke Malaysia khususnya Perak, kerana semua yang berlaku adalah takdir,” ka tanya.

Kosmo! 21 Disember lalu melaporkan sebuah bas persiaran dua tingkat yang sedang menuruni Cameron Highlands terlibat dalam kemalangan hingga mengorbankan 28 nyawa yang kebanyakan terdiri daripada pelancong Thailand.

Kejadian pukul 11.40 pagi itu turut mengakibatkan seramai 11 penumpang yang lain cedera parah.

Kesemua mereka bagaimanapun telah dihantar pulang ke negara asal secara berperingkat setelah keadaan mereka semakin stabil.

No comments:

Post a Comment