Translate

Friday, January 7, 2011

Perak hargai tiga pemain negara

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan @kosmo.com.my

TIGA pemain yang berasal dari Perak yang menganggotai skuad bola sepak negara menjulang Piala Suzuki AFF 2010 baru-baru ini akan menerima ganjaran wang tunai daripada kerajaan negeri Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, tiga pemain tersebut ialah Mohd. Safee Mohd. Sali, 26, Fadhli Shas, 19, dan Sabre Mat Abu, 23.

"Kerajaan negeri Perak berbesar hati memberi sumbangan RM5,000 setiap seorang kepada Safee, Fadhli dan Sabre.

"Safee juga akan mendapat tambahan ganjaran RM5,000 berikutan muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan tersebut," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh semalam.

Sabre berasal dari Parit Buntar, Fadhli dilahirkan di Lumut manakala keluarga Safee kini menetap di Temoh, Tapah.

Bagaimanapun Sabre kini bermain untuk pasukan Kedah, Fadhli merupakan sebahagian daripada tonggak skuad Harimau Muda A manakala Safee beraksi untuk Selangor.

Zambry berkata, sumbangan tersebut sebagai penghargaan terhadap persembahan mantap skuad bola sepak negara terutama tiga pemain tersebut sehingga mampu membawa pulang Piala Suzuki AFF yang diidamkan sejak 14 tahun lalu.

"Saya sendiri menyaksikan pasukan negara membenam Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama di Stadium Bukit Jalil pada 26 Disember lalu.

"Sumbangan tersebut akan diserahkan kepada tiga pemain itu dalam satu majlis khas dalam masa terdekat," katanya.

Malaysia muncul pasukan keempat yang menjulang Piala Suzuki AFF selepas Thailand, Singapura dan Vietnam selepas menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2 dalam perlawanan akhir yang dijalankan secara timbal balik.

No comments:

Post a Comment