Translate

Thursday, January 20, 2011

Pelatih PLKN dakwa dianiaya

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang sedang menjalani latihan di Kem Sri Impian, Sungai Bakap, Pulau Pinang mendakwa sebahagian rambutnya telah digunting Ahad lalu tanpa disedarinya.

Basant Singh, 18, mendakwa, kejadian berlaku ketika dia dan sepuluh pelatih lain sedang tidur di kem tersebut.

"Sebelum masuk tidur kira-kira 12 malam, saya telah menanggalkan serban di kepala dan melepaskan rambut seperti yang selalu saya lakukan.

"Apabila bangun pukul 6.30 pagi esoknya, saya terkejut melihat sebahagian rambut saya telah dipotong (gunting)," dakwanya pada sidang akhbar di rumahnya di Jalan Gurdwara di sini semalam.

Basant yang menyimpan rambut sepanjang satu meter sejak lahir mendakwa hampir 60 sentimeter rambutnya digunting.

Menurut Basant, kejadian itu membuatkan dia rasa terhina.

"Memelihara rambut adalah simbol agama yang penting dalam agama Sikh dan saya yakin ia bukan perbuatan rakan sebilik tetapi orang lain yang menceroboh masuk ke asrama kami.

"Biarpun diberi cuti sehingga 23 Januari ini untuk menenangkan fikiran di rumah, saya amat trauma dan enggan menjejakkan kaki lagi di kem tersebut selepas ini," katanya.

Dia dijemput pulang oleh bapanya, Surinderpal Singh sebelum membuat laporan di Balai Polis Bandar Baharu, Kedah pada malam kejadian.

Sementara itu, Surinderpal berkata, beliau kesal dengan kejadian tersebut kerana program PLKN bertujuan menyatukan remaja menghormati kepelbagaian kaum dan agama di negara ini.

Surinderpal yang juga ketua rumah ibadat Sikh di Wadda Gurdwara Sahib di sini berkata, perkara tersebut tidak akan terjadi sekiranya kawalan keselamatan diambil berat oleh pengurusan kem tersebut.

No comments:

Post a Comment