Translate

Thursday, January 20, 2011

Kes pasir : Dua beranak dituduh rasuah

IPOH - Seorang bapa dan anak lelakinya semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap empat tuduhan merasuah sejumlah RM29,000 kepada seorang pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) pada bulan lalu dan minggu lepas.

Ong Eng Lin, 47, dari 137A Mambang Diawan, Kampar, dan anaknya, Kien Choong, 25, didakwa secara bersama memberi suapan berjumlah RM12,000 kepada Penolong Pegawai Tanah PTG Ipoh, Megat Saiful Nizam Megat Wahab di Restoran Sabar Menanti di sini pada pukul 10.35 malam, 11 Disember lepas.

Suapan itu sebagai dorongan supaya Megat Saiful Nizam untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka kerana menggunakan doket pengeluaran pasir yang tidak sah, satu kesalahan mengikut Seksyen 426(1) Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56/1965).

Eng Lin turut didakwa atas tiga kesalahan lain yang dilakukan bagi tujuan sama iaitu menawarkan suapan berjumlah RM12,000 kepada Megat Saiful Nizam di Kampung SMTD, Mukim Chenderiang, daerah Batang Padang pada pukul 1.40 petang pada hari yang sama.

Dia juga didakwa menawarkan wang tunai berjumlah RM3,000 kepada pegawai sama di Restoran Sabar Menanti pada pukul 10.35 malam, juga pada hari sama.

Bagi tuduhan keempat, Eng Lin didakwa memberikan suapan wang tunai RM2,500 kepada pegawai sama di dalam kenderaan pacuan empat roda Toyota jenis Isuzu bernombor pendaftaran AFV 9996 di Jalan Dato Ahmad Said di sini pada pukul 3 petang pada 11 Januari lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Jika disabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 berdasarkan yang mana lebih tinggi, bagi setiap kesalahan.

Hakim Julie Lack menetapkan kes itu disebut semula pada 22 Februari ini serta membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin RM15,000 bersama seorang penjamin bagi setiap kesalahan.

No comments:

Post a Comment