IPOH - Seorang pelajar tingkatan dua maut setelah kepalanya dihempap takal besi yang sedang dipasang pada tali untuk aktiviti flying fox di padang Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMKJC) Hua Lian, Taiping semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, Goh Swee Kim, 14, sedang menyertai perkhemahan pengakap bersama 40 pelajar lain anjuran sekolahnya sejak petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd. Diah berkata, semasa kejadian, mangsa bersama beberapa pengakap lain sedang membantu seorang guru memasang menara flying fox di padang sekolah terbabit.
"Ketika itu tiba-tiba sebuah takal terlucut dari tiang lalu terjatuh dan terkena kepala Swee Kim.
"Mangsa tumbang dan mati di tempat kejadian ekoran kecederaan parah di kepala," katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Difahamkan menara flying fox itu dibina untuk persediaan salah satu aktiviti riadah yang dirancang sepanjang perkhemahan pengakap tersebut yang dijangka berakhir hari ini.Yusuf berkata, mayat Swee Kim telah dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut.
No comments:
Post a Comment