Translate

Monday, January 3, 2011

Bikerz Kitchen untuk peminat motor

IPOH - Minat mendalam terhadap motosikal berkuasa tinggi telah mendorong Mohd. Khairil Jamil membuka restoran Bikerz Kitchen di Pusat Perniagaan Pulai, Simpang Pulai di sini.

Beliau yang menunggang motosikal kuasa tinggi Honda Goldwing, melihat restoran konsep itu akan menjadi pusat perjumpaan bagi peminat motosikal berkuasa tinggi di seluruh negara yang sering mengunjungi bandar raya ini.

"Pengalaman saya menjadi marsyal selama lebih lapan tahun mendapati kebanyakan bandar yang kami singgah mempunyai stesen atau lokasi khas untuk peminat motosikal berkuasa tinggi berkumpul.

"Menyedari bahawa Ipoh tidak mempunyai stesen sedemikian, saya dan isteri, Lily Suhaila Rahimi telah ambil inisiatif membuka Bikerz Kitchen bagi penunggang motosikal untuk melepas penat, bersantai dan bertukar pengalaman mereka" katanya kepada Kosmo! selepas pelancaran restoran tersebut oleh Penolong Pegawai Daerah Kinta, Ahmad Rashid Ahmad Rahim di sini baru-baru ini.

Turut memeriahkan majlis tersebut ialah lebih 300 peminat motosikal berkuasa tinggi termasuk Ketua Polis Daerah Tapah, Supritendan Roslan Bek Ahmad yang gemar menunggang motosikal berkuasa tinggi Kawasaki 1,200 cc di sekitar negeri Perak dan kawasan Lembah Klang.

Mohd. Khairil berkata, lokasi Bikerz Kitchen strategik kerana terletak di persimpangan Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands yang merupakan lokasi tumpuan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang sering berkonvoi untuk ke Tanah Tinggi Cameron, Pahang.

Menurut beliau, selain itu, restorannya juga terletak hanya 200 meter dari Plaza Tol Simpang Pulai yang merupakan antara pintu masuk utama ke Ipoh dari Lebuh raya Utara Selatan.

"Di samping sebuah dewan yang boleh memuatkan 50 orang pelanggan pada satu masa, restoran dua tingkat ini juga menyediakan pelbagai menu hidangan termasuk stimbot dan makanan barat yang berharga dari RM4 hingga RM50 bagi setiap sajian," jelasnya.

Restoran Bikerz Kitchen dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 1 pagi dan operasinya akan dilanjutkan sehingga 3 pagi pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

No comments:

Post a Comment