Translate

Thursday, January 20, 2011

Budak hilang semalaman ditemui


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SLIM RIVER – Seorang kanak-kanak berusia setahun 10 bulan menghadapi saat-saat cemas apabila tersesat di dalam hutan kira-kira tiga kilometer dari rumah neneknya di Kampung Lintah, Slim Village di sini, tengah hari kelmarin sebelum ditemui 20 jam kemudian.

Nor Aishah Umairah Zamzuri dijumpai semula dalam keadaan berdiri di dalam kawasan berlumpur dengan sebahagian kakinya ditenggelami selut hingga paras betis sambil menangis.

Dia ditemui dua penduduk Orang Asli yang kebetulan melalui kawasan hutan tersebut untuk menoreh getah di ladang getah berhampiran pada kira-kira pukul 7.30 pagi semalam sebelum memaklumkannya kepada penduduk kampung yang menyertai dalam operasi mencari.

Semasa ditemui, tubuh Nor Aishah dipenuhi lumpur hingga ke paras leher selain banyak kesan gigitan serangga dan calar-balar. Kedua-dua tapak kakinya pula pecah dipercayai akibat berjalan berkaki ayam di dalam hutan terbabit.

Nenek mangsa, Norliah Zakaria, 50, berkata, dia menyedari kehilangan cucu sulungnya itu selepas pulang mengambil dua anaknya dari sekolah berhampiran pada pukul 1.30 petang kelmarin.

“Sebelum itu Nor Aishah sedang bermain dengan anak angkat saya, Mohd. Shahrizal, 3, di laman rumah yang dikelilingi pagar dan pintu pagar telah dikunci.

“Sedar-sedar Nor Aishah telah hilang sementara Mohd. Shahrizal sedang leka bermain di dalam sebuah parit kontang di hadapan rumah," ceritanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lintah, Slim Village di sini semalam.

Nor Aishah dibela Norliah sejak lahir sementara ibu bapa bayi itu, Nor Awani Abdul Wahid, 28, dan Zamzuri Mohd. Salleh, 28, menetap dan bekerja di Ipoh.

Norliah berkata, dia yang terkejut setelah kelibat Nor Aishah Umairah gagal ditemui di sekitar kampung segera menghubungi suaminya, Abdul Wahid Nordin, 52, yang bekerja di Majlis Agama Islam dan Adat-Istiadat Melayu Perak (MAIMP) di Ipoh.

Abdul Wahid bergegas pulang bersama Nor Awani dan Zamzuri pada kira-kira 3.30 petang sebelum dia menghubungi polis.

Selepas laporan itu dibuat, pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada 80 orang termasuk penduduk kampung.

Menurut Abdul Wahid lagi, keluarganya resah kerana usaha mencari dan menyelamat yang turut disertai Nor Awani jauh ke dalam hutan sehingga pukul 4 pagi gagal menemui cucu sulungnya itu.

“Alhamdulillah dia ditemui oleh dua penduduk Orang Asli kira-kira tiga jam kemudian di kawasan berlumpur di dalam hutan,” katanya.

Abdul Wahid kemudiannya bergegas ke kawasan berkeaan untuk mendukung Nor Aishah Umairah keluar setelah cucunya meragam dan enggan diselamatkan individu lain yang tidak dikenali.

Sementara itu, Nor Awani bersyukur anak tunggalnya selamat dan berhajat untuk mengadakan kenduri kesyukuran dalam masa terdekat.

“Sebaik sahaja diselamatkan, anak saya merengek meminta susu kerana seharian kelaparan sebelum dikejarkan ke Hospital Slim River," katanya.

3 comments: