Translate

Monday, December 21, 2009

Kereta remuk: Dua sahabat maut

IPOH - Dua sahabat termasuk seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam maut manakala dua lagi cedera parah apabila kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Puncak Jelapang, Jelapang di sini semalam.

Dua mangsa yang terkorban ialah Meor Mohammad Azlan Meor Ahmad Sabri, 21, pelajar tahun dua jurusan Perakaunan, UiTM Shah Alam, Selangor dan Mohd. Zul Akmar Ali, juga 21 tahun.

Dua lagi sahabat mereka yang hanya dikenali sebagai Farid dan Zul cedera parah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, semua mangsa yang menaiki kereta Toyota Corolla dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Gugusan Manjoi di sini.

Kumpulan empat sahabat itu dikatakan dalam perjalanan dari Sitiawan dekat sini.

"Sampai di persimpangan Puncak Jelapang kira-kira lima kilometer dari Gugusan Manjoi, tiba-tiba sebuah kereta yang cuba memotong kenderaan lain terbabas memasuki laluan empat sahabat itu.

"Azlan yang memandu kereta itu cuba mengelak tetapi ia merempuh pembahagi jalan," kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, akibat rempuhan terbabit, kereta Toyota Corolla terbabit remuk teruk.

Azlan yang cedera teruk di kepala dan leher mati serta-merta di tempat kejadian.

Rakannya, Mohd. Zul Akmar yang duduk di sebelah kanan tempat duduk belakang pula meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Azisman memberitahu, dua lagi penumpang yang dikenali sebagai Farid dan Zul cedera parah dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPB.

Sementara itu bapa Meor Mohammad Azlan, Meor Ahmad Sabri Meor Mohd, 53, yang ditemui berkata, anaknya keluar dari rumah setelah dijemput kawan-kawan di rumahnya di Kampung Dato’ Ahmad Said, Manjoi di sini pada kira-kira 9.45 malam.

"Pukul 3 pagi anak saya tidak balik lagi, saya sudah rasa tidak sedap hati.

"Apabila saya menghubungi Azlan tidak ada jawapan," katanya ketika ditemui rumahnya di sini semalam.

Jenazah Meor Mohammad Azlan dan Mohd. Zul Akmar dikembumikan di Tanah Perkuburan Islam Gurap, Jalan Kuala Kangsar di sini pada kira-kira 2.30 petang semalam.


No comments:

Post a Comment