Translate

Wednesday, December 23, 2009

Selepas 20 tahun tiada lagi Lemang Seladang

IPOH - Kelazatan lemang Seladang mungkin tidak dapat dirasai lagi oleh orang ramai khususnya penduduk bandar raya ini apabila gerai yang sudah bertapak di Taman Soon Choon di sini lebih 20 tahun lalu, dirobohkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) semalam.

Pengusahanya, Anjang Halim Md. Saman, 57, mendakwa, gerai lemangnya telah dirobohkan MBI pada pukul 8 pagi tanpa sebarang notis pemberitahuan.

"Walaupun gerai lemang saya dibina di atas rizab jalan tetapi ia tidak mengganggu lalu lintas malah saya telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak.

"Saya ikut semua syarat ditetapkan JKR Perak. Lagi pun saya telah berniaga di sini sejak 20 tahun lalu, kenapa sekarang baru hendak dirobohkan," katanya ketika ditemui di tapak gerainya yang telah diroboh.

Lemang Seladang terkenal di bandar raya ini kerana keenakannya dan menjadi pilihan bukan sahaja penduduk tempatan tetapi juga pelancong asing seperti Hong Kong, Australia dan Singapura.

Artis Hollywood, Jodie Foster juga pernah singgah di gerainya untuk menikmati lemang semasa dia melakukan penggambaran filem Anna and The King di bandar raya ini pada tahun 1999.

Anjang Halim yang merupakan seorang pesara mendakwa tindakan MBI merobohkan gerainya menyebabkan dia kerugian hampir RM15,000 selain kehilangan sumber pendapatan utama.

Dia yang juga Ahli Jawatankuasa Kelab Peminat Bola Sepak Perak berkata, lemang yang dinamakan sempena gelaran skuad bola sepak Perak mendapat sambutan hangat dan dapat dijual sehingga 4,000 batang pada musim perayaan.

Katanya, dia juga berniaga pada setiap Sabtu dan Ahad sejak dua tahun lalu dan mampu menjual purata 60 batang lemang pada dua hari tersebut.

"Saya kesal tindakan MBI ini. Sekarang saya buntu untuk meneruskan perniagaan tradisional ini," katanya.

Sementara itu Pengarah JKR Perak, Datuk Ir. Safry Kamal Ahmad dalam surat kebenaran bertulisnya pada 11 Disember lalu memberitahu pihaknya tidak keberatan untuk membenarkan gerai Lemang Seladang beroperasi di lokasi terbabit.

Bagaimanapun beliau memberi syarat saiz gerai berkenaan tidak diperbesar dan melarang sebarang pokok ditanam di kawasan tersebut.

No comments:

Post a Comment