IPOH - Tokoh akademik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad menyarankan kerajaan agar mengubah sistem persekolahan negara kepada satu sesi keranai a selaras dengan konsep 1Malaysia.
Pengerusi Panel Penasihat Sekolah Kluster Kecemerlangan Kementerian Pelajaran itu berkata, dengan sasaran menjadi negara maju pada 2020, sudah tiba masanya sistem pendidikan negara mengalami tranformasi bagi memantapkan proses penyediaan modal insan.
"Tiada satu pun negara maju di dunia ini yang mengamalkan sistem dua sesi seperti diamalkan negara sekarang. Sistem persekolahan kita mempunyai dua sesi kerana faktor sejarah berikutan pada awal kemerdekaan negara kita tak cukup sekolah, tapi itu cerita 52 tahun dulu...keadaan sekarang sudah jauh berubah," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kertas kerja Ruang Pembelajaran Baru : Reformasi dan Tranformasi Masa Depan Pendidikan Malaysia yang dibentangkan Pengerusi Majlis Dekan Fakulti Pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Profesor Dr. Abdul Rashid Mohamed di sini semalam.
Pada pembentangan kertas kerja sempena Seminar Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Guru 2009 itu, Abdul Rashid yang juga Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Sains Malaysia mencetuskan beberapa pendekatan baru dan dinamik untuk merealisasikan idea tersebut.
Abdul Rahman yang juga Pro Canselor UPSI berkata, menerusir sistem sekolah satu sesi, pelajar dan guru boleh menjalankan kegiatan akademik dan kokurikulum sepanjang waktu sekolah tanpa menganggu cuti hujung minggu mereka.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran itu berkata, dengan jadual waktu yang panjang, kelas agama dan bahasa ibunda boleh diwujudkan untuk dipelajari pelajar tanpa mengira kaum.
No comments:
Post a Comment