Translate

Monday, August 31, 2009

Kartika dari Indonesia?


IPOH - Semenjak model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, dijatuhi hukuman enam sebatan atas kesalahan minum arak oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu, dia terus menimbulkan polemik yang menjadi percakapan ramai.

Pendirian model sambilan itu yang bukan sahaja enggan membuat rayuan malah memohon pelaksanaan hukuman sebat ke atasnya dipercepatkan mengundang perhatian ramai.

Menariknya, hukuman sebat ke atas Kartika itu ditangguhkan pada 24 Ogos lalu kerana menghormati bulan Ramadan dan ia juga mendapat pelbagai reaksi.

Banyak pihak terus memperkatakan isu Kartika termasuk di kalangan penulis-penulis blog menerusi laman portal masing-masing.

Ramai yang bersimpati dan menyokong pendirian Kartika yang mengaku bersalah dan sanggup menjalani hukuman syariah itu, namun ada juga yang curiga dengan keikhlasan wanita tersebut.

Antaranya Kartika dan bapanya, Shukarno dikatakan bukan berasal dari negara ini hanya kerana nama mereka yang seakan-akan nama ahli keluarga bekas Presiden Indonesia pertama, Sukarno walaupun mereka sebenarnya Melayu Perak jati dan berasal dari Kampung Jamong, Karai, Sungai Siput dekat sini.

Dia juga dituduh tidak ikhlas dalam pendiriannya terhadap hukum syariah dan cuba mencari publisiti murahan kepada media.

Selain itu, Kartika dan Shukarno dikatakan gila glamor di sebalik pendedahan meluas media termasuk agensi antara bangsa terhadap kes yang menimpanya.

Dalam perkembangan lain, jurucakap Kompleks Sejarah Matang memberitahu, susur galur keturunan yang didakwa Shukarnor membuktikan keluarganya mempunyai kaitan de ngan pembesar Melayu Perak, Tengku Menteri Ngah Ibrahim ada kebenarannya.

Beliau berkata, walaupun tiada kajian akademik tentang keluarga Ngah Lamat tetapi berdasarkan salasilah Ngah Ib rahim, Ngah Lamat memang bapa saudaranya.

'Kami keturunan Ngah Ibrahim'


Keluarga Kartika jawab tohmahan mengatakan kononnya mereka rakyat asing

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TAIPING - Shukarnor Abdul Mutalib, 60, kurang senang dengan kecaman segelintir masyarakat termasuk beberapa penulis blog yang memperlekehkan niat ikhlas anaknya, Kartika Sari Dewi, 32, untuk menjalani hukuman sebat akibat kesalahan minum arak.

Lebih mengecewakan beliau ialah ada pihak yang mempertikaikan asal-usulnya termasuk mendesak status kerakyatan keluarganya ditarik balik.

"Mereka mencemuh Kartika kononnya berasal dari negara jiran dan telah memalukan negara ini. Ekoran itu, kami sekeluarga telah didatangi pihak polis beberapa hari lalu bagi menyiasat latar belakang kami.

"Saya ingin tegaskan kami anak Melayu Perak jati dan merupakan keturunan Ngah Lamat iaitu bapa saudara Tengku Menteri Ngah Ibrahim yang merupakan salah seorang pembesar negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika membawa Kartika dan beberapa anaknya yang lain ke makam Ngah Ibrahim yang terletak di Kompleks Sejarah Matang dekat sini semalam.

Shukarnor memberitahu, beliau juga terlibat secara langsung dalam proses membawa pulang tulang-temulang Ngah Ibrahim dari Singapura ke Perak yang disempurnakan pada September 2006.

Ngah Ibrahim ialah anak kepada Long Jaafar, orang pertama yang menemui bijih timah di Perak dan dijadikan Orang Besar Jajahan dengan gelaran Orang Kaya Menteri. Gelaran itu diberikan oleh Sultan Abdullah Mohamad. Long Jaafar juga diberikan kuasa untuk membangunkan daerah Larut.

Setelah Long Jaafar meninggal dunia pada tahun 1857, gelaran dan kuasanya diturunkan kepada Ngah Ibrahim.

Mengikut sejarah, Ngah Ibrahim merupakan pembesar Melayu yang menentang campur tangan British dalam pentadbiran negeri Perak. Dia dituduh bersubahat membunuh Residen British di Perak, J.W.W.W Birch.

Bersama-sama bapa mertuanya, Laksamana Mohamad Amin, Ngah Ibrahim dan Sultan Abdullah dibuang negeri ke Kepulauan Seychelles di Lautan Hindi pada 1877. Ngah Ibrahim meninggal dunia di Singapura pada tahun 1895.

Pada 1 November 1875, Birch dan kumpulannya sampai di Pasir Salak, Perak. Orang Melayu yang bersenjata ketika itu sudah berkumpul di tepi sungai berhampiran di tepi sungai berhampiran dengan bot Birch dan mengoyakkan semua surat arahan British yang ditampal.

Mereka kemudiannya membaling lembing ke arah Birch dan menghumbannya ke dalam sungai.

Beliau telah dibunuh dengan kerjasama Datuk Maharaja Lela dan rakan-rakannya iaitu Datuk Sagor, Si-Putum, Pandak Endut, Laksamana Mohammad Amin dan lain-lain. Birch dibunuh di Pasir Salak pada 2 November 1875. Kerani Melayunya, Mat Arshad turut terkorban dalam peristiwa tersebut.

Ngah Ibrahim marahkan Birch yang mengenakan cukai ke atas perlombongan dan perniagaan bijih timah di Larut. Kuasa Ngah Ibrahim memungut hasil dan cukai di Larut juga disekat.

Menurut Shukarnor, isterinya, Wan Badariah Meor Abdul Salim pula adalah keturunan Megat Terawis yang memegang jawatan Bendahara Perak pertama pada abad ke-15.

Megat Terawis datang ke Perak bersama-sama dengan Sultan Muzaffar Syah I dari Kampar dan mendirikan kerajaan di sana. Selang beberapa lama, berlaku perselisihan faham antara baginda dengan Tun Saban yang membawa kepada peperangan.

Sultan Muzaffar Syah menawarkan jawatan Bendahara kepada sesiapa yang berjaya membunuh Tun Saban dan ia disahut oleh Megat Terawis. Megat Terawis kemudiannya dilantik menggantikan Tun Muhammad menjadi Bendahara Perak dengan gelaran Bendahara Paduka Raja.

Megat Terawis ada sembilan adik-beradik dan seorang daripada mereka bernama Megat Panji Alam. Beliau pernah bertunang dengan anak Bendahara Pahang bernama Tun Teja Benggala yang dilarikan oleh Hang Tuah untuk dijadikan isteri Sultan Melaka.

Megat Panji Alam dan saudaranya Megat Kembar Ali berserta 4,000 rakyat Terengganu menuju ke Melaka untuk berperang. Berita penyerangan Megat Panji Alam diketahui oleh Melaka dan satu angkatan perwira yang diketuai oleh Hang Tuah dan Hang Jebat menuju ke Pahang,

Peristiwa pembunuhan Megat Panji Alam telah menimbulkan kemurkaaan Sultan Pahang dan Sultan Terengganu. Sultan Terengganu sendiri telah bersedia untuk menuntut bela tetapi hasrat itu dibatalkan.

Malay Film Production Ltd. ada menghasilkan sebuah filem berjudul Megat Terawis pada 1960 yang dibintangi oleh Datuk Ahmad Mahmood, Tan Sri Jins Shamsuddin dan A. Rahim.

Shukarnor berkata, cemuhan tidak berasas itu sedikit sebanyak menyebabkan Kartika yang dalam tempoh ‘bertenang’ setelah hukuman sebatnya tertangguh 24 Ogos lalu agak terganggu emosinya.

"Saya bawa Kartika ziarah makam Ngah Ibrahim hari ini (semalam) untuk dia kenal asal-usulnya dan kuatkan jati diri bagi menghadapi dugaan ini," katanya.

Kartika yang kini di Singapura itu dijatuhi hukuman maksimum denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Hakim Syarie, Datuk Abdul Rahman Yunus selepas didapati bersalah minum arak selepas didapati bersalah minum arak di sebuah hotel di Cherating, Kuantan pada 20 Julai tahun lalu.

Akhbar baru-baru ini melaporkan model sambilan itu yang sepatutnya menghantar ke Penjara Kajang, Selangor untuk menjalani hukuman sebat pada Isnin lalu ditangguhkan atas arahan Pejabat Peguam Negara kerana menghormati bulan Ramadan.

Friday, August 28, 2009

RPT untuk pesara polis dan tentera


IPOH - Pesara polis dan tentera di Perak yang masih belum memiliki kediaman sendiri akan dibantu mendapatkan tapak rumah menerusi Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kelonggaran khas itu adalah inisiatif kerajaan negeri bagi menjaga kebajikan dan menghargai jasa bekas anggota pasukan keselamatan terbabit.

"Sebelum ini saya menerima banyak aduan bekas polis dan tentera di negeri ini tidak mampu memiliki rumah sendiri biarpun sudah bersara.
"Sehubungan itu, kerajaan negeri memutuskan untuk membantu mereka mendapatkan tapak rumah menerusi RPT yang terdapat di setiap daerah," katanya selepas menyerahkan bungkusan kuih raya kepada lapan pasukan keselamatan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak di sini semalam.

Sebanyak 9,487 bungkusan kuih raya sempena Aidilfitri kepada lapan pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Markas Dua Briged Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Unit Penguatkuasa Penyeludupan (UPP).

Turut hadir Panglima Dua Briged, Brig. Jen. Zulkifli Mansor, Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah dan Pegawai Pemerintah Pangkalan Polis Marin Kampung Acheh, Deputi Supritendan Shaari Ariffin.

Zambry berkata, beliau telah mengarahkan semua Pengawai Daerah di negeri ini untuk mengenalpasti bekas polis dan tentera terlibat.

Buat masa ini katanya, golongan terbabit yang layak akan diberi tanah untuk dibuat tapak rumah di RPT sedia ada.

"Untuk rancangan jangka panjang, setiap daerah akan mempunyai RPT khas untuk bekas polis dan tentera dan lokasinya sedang dikenalpasti Pegawai Daerah masing-masing.

"Mereka memang perlu membayar premium untuk memiliki tanah tersebut tetapi sekiranya ia membebankan golongan itu, kerajaan negeri akan mencari mekanisme terbaik mengatasinya," katanya.