Translate

Sunday, July 12, 2026

Peserta SBK 2.0 maut, Aprilia terbabas di Jambatan Kuala Ibai

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang wanita berusia 40 tahun yang dalam pulang selepas menyertai program permotoran Superbike Fighter (SBK) 2.0 maut selepas motosikal berkuasa tinggi jenis Aprilia ditungganginya terlibat dalam kemalangan di Jambatan Kuala Ibai, di sini hari ini.

Kemalangan pada pukul 6.15 petang itu menyebabkan pegawai sumber manusia yang berasal dari Bandar Baru Salak Tinggi, Selangor tersebut meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, wanita tersebut dikatakan dalam perjalanan ke inap desanya di Dungun.

Beliau berkata, sebelum itu, penunggang motosikal berkuasa tinggi terbabit dikatakan menyertai program SBK 2.0 yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus dekat sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian yang merupakan laluan berselekoh, motosikal berkuasa tinggi jenis Aprilia ditunggangi mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan.

“Ia menyebabkan motosikal itu terbabas lalu melanggar pembahagi jalan sehingga menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan wanita tersebut sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Friday, July 3, 2026

Harga diesel seragam, nelayan C2 dirayu kembali ke laut

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Lembaga Kemajuan Perikanan Ikan Malaysia (LKIM) berharap penyeragaman harga diesel pada kadar RM2.10 seliter mulai esok dapat merangsang produktiviti nelayan tempatan termasuk kelas C2 atau laut dalam.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, peluang itu harus diambil oleh segelintir pengusaha bot nelayan C2 untuk kembali ke laut setelah terpaksa ‘bercuti seketika’ sebelum ini akibat lonjakan harga diesel.

Beliau berkata, nelayan C2 sebelum ini tidak menerima subsidi bahan api khusus daripada kerajaan berbanding kategori lain iaitu kategori A, B dan C.

“Kita rayu nelayan C2 untuk kembali aktif ke laut (untuk menangkap ikan). Kerajaan telah ambil langkah subsidi diesel dengan menyeragamkan harganya.

“Setakat ini, pelaksanaan awal (Budi Madani Diesel) baru-baru ini menunjukkan penggunaan minyak (diesel) subsidi dalam kalangan nelayan semakin meningkat,” katanya di LKIM Terengganu, Chendering di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan bantuan peralatan menangkap ikan kepada 88 nelayan Terengganu pada majlis Rahmah Mesra Madani.

Kosmo! 9 Jun lalu melaporkan 14.25 peratus 400 bot nelayan C2 tempatan memilih ‘bercuti’ sementara daripada menangkap ikan kerana tidak mampu menanggung kenaikan kos operasi akibat lonjakan harga diesel global.

Ops Dadah Terengganu: 253 disyaki penagih, pengedar dadah diberkas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 253 individu termasuk lima wanita yang disyaki penagih dan pengedar dadah berjaya diberkas dalam operasi bersepadu yang diadakan di seluruh Terengganu.

Serbuan selama dua hari berakhir semalam itu melibatkan suspek beusia dalam lingkungan 19 hingga 72 tahun.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, serbuan terbabit telah berjaya merampas pelbagai jenis dadah dan bahan larangan yang dianggarkan berjumlah keseluruhan RM18,044.60.

“Seramai 146 suspek ditahan kerana positif dadah, memiliki dadah (72 orang) dan mengedar dadah (29 orang).

“Enam orang ramai pula ditahan kerana semakan mendapati mereka memiliki waran tangkap,” katanya di sini, hari ini.

Mohd. Khairi berkata, seramai 44 suspek ditangkap berusia dalam lingkungan 51 hingga 72 tahun.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama strategik membanteras penyalahgunaan dadah dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan. - KOSMO! ONLINE