Translate

Sunday, March 29, 2026

Tubuh jawatankuasa tangani insiden pesakit mental

 

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan insiden melibatkan pesakit mental tidak berulang di negeri ini pada masa hadapan.

 Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, dua insiden termasuk yang terbaharu melibat seorang lelaki berusia 47 tahun yang dipukul di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Kemaman pada Jumaat lalu menjadi ikhtibar.

 “Kita sudah ada dua kes, sebelum ini, seorang suri rumah (yang meroyan) melanggar mati pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada Oktober tahun lalu.

 “Mesyuarat khas Majlis Tindakan Khas Orang Kelainan Upaya (OKU) Terengganu akan diadakan pada 5 Februari ini bagi menangani kes-kes berlaku supaya tidak berulang,” katanya ketika menziarah lelaki OKU terbabit dikenali Paijang di Wad Psikiatri, Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.

 Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang lelaki mental berusia 47 tahun telah dipukul dan disepak beberapa individu dipercayai peniaga dan pelanggan Pasar Tani Padang Astaka Chukai pada pukul 9.30 pagi. 

Insiden dipercayai berpunca rasa tidak puas hati selepas motosikal ditunggangi bapa anak lima tersebut dikatakan terlanggar sebuah gerai di pasar tani terbabit sehingga menyebabkan makanan jualan tertumpah ke atas jalan. 

Maliaman berkata, jawatankuasa khas tersebut akan turut melibatkan agensi berkepentingan termasuk Polis Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan jabatan kesihatan negeri. 

Beliau berkata, keluarga perlu memainkan peranan memberi perhatian serius terhadap pesakit mental dengan tidak melepaskan mereka tanpa kawalan dan ubatan. 

“Masyarakat kena belajar memahami dan mengenali pesakit mental serta bersabar.

 “Saya juga minta orang ramai berlaku adil dengan tidak menghukum semua rakyat Terengganu sehingga menghasut agar tidak datang ke negeri ini. Ia cuma kes terpencil,” katanya. 

Dalam pada itu, Maliaman berkata, Paijang yang kini dalam keadaan stabil di HSNZ menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450.

Pencuri telefon juruwang OKU kena berkas

 

MARANG – Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan mencuri telefon bimbit milik seorang juruwang dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) tempang di Rhu Rendang di sini pada Selasa lalu.

 Suspek berusia 29 tahun berjaya ditahan di Taman Batin Perdana, Kuala Nerus pada keesokan harinya.

 Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd. Sofian Redzuan berkata, siasatan awal mendapati, suspek disyaki mencuri telefon bimbit jenis Samsung Galaxy milik juruwang OKU kategori fizikal terbabit yang diletakkan di kaunter pembayaran sebuah kedai runcit. 

“Sebelum itu, suspek telah membeli rokok di premis perniagaan itu sebelum datang semula kira-kira 15 minit kemudian. 

“Dia berpura-pura kononnya mahu membeli kad tambah nilai prabayar, namun sejurus mangsa memberitahu tidak menjualnya, suspek tiba-tiba terus mengambil telefon bimbit terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

 Terdahulu tular klip video berdurasi 27 saat memaparkan suspek melarikan telefon bimbit OKU berkenaan di media sosial. 

Mohd. Sofian berkata, suspek yang mempunyai rekod jenayah berkaitan mencuri berkenaan dipercayai telah melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal. 

Beliau berkata, semakan juga mendapati lelaki itu pernah terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah sejak tahun 2017.

 “Dia telah ditahan di Taman Batin Perdana, Kuala Nerus yang terletak kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian,” ujarnya.

‘Impian hidup sebumbung sudah berakhir'

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

SETIU – Keterujaan seorang isteri untuk hidup sebumbung bersama suami tercinta selepas menjadi pasangan jarak jauh (PJJ) selama 11 tahun tidak kesampaian apabila lelaki itu maut dalam kemalangan jalan raya kelmarin. 

Lebih memilukan apabila Mohamad Shakiran Saidi, 36, yang bertugas sebagai anggota tentera di Johor terlibat nahas ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Kelantan untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta. 

Mohamad Shakiran dan rakannya, Muhammad Aminuddin Amran, 21, yang bertugas di Kem 7 Workshop Briged Tebrau meninggal dunia selepas kereta Honda Civic dinaiki mereka terlibat kemalangan di Kilometer 70, Jalan Kuala Terengganu Kota Bahru berhampiran Kampung Buluh di sini kelmarin.

Isteri Mohamad Shakiran, Nor Fatin Mohd. Azhar, 36, berkata, suaminya sudah lama merancang untuk menamatkan episod PJJ mereka demi memberi lebih perhatian kepada keluarga, terutama tiga anak yang semakin membesar.

 “Sudah lama kami menunggu saat untuk tinggal bersama. Tapi saya tak sangka, penantian itu berakhir dengan dia pulang sebagai jenazah,” katanya yang mempunyai tiga orang anak. 

Cerita Nor Fatin lagi, sebelum memulakan perjalanan pulang, arwah suami sempat menghubunginya dan meluahkan rasa rindu terhadap anak bongsu mereka, Muhamad Harasy Mikhail yang baru berusia lapan bulan. 

Tambah Nor Fatin, Aidilfitri tahun ini sepatutnya menjadi lebih istimewa kerana buat pertama kali dalam tempoh 11 tahun perkahwinan, mereka merancang untuk mengenakan pakaian sedondon pada pagi raya. 

“Arwah sendiri pilih tema merah. Dia beli baju Melayu untuk dirinya. Saya pula sediakan pakaian saya dan anak-anak,” ujarnya. 

Nor Fatin berkata, hatinya bertambah hiba apabila melihat baju Melayu berwarna merah yang dibeli suaminya masih berada dalam Honda Civic dinaiki ketika terlibat kemalangan. 

Sementara itu, ibu Muhammad Aminuddin, Naimah Zakaria, 54, berkata, insiden melibatkan anak kelima dari enam beradik itu seperti mengulangi tragedi sama menimpa anak keduanya yang turut maut akibat kemalangan menjelang Aidilfitri pada dua tahun lalu. 

“Barulah saya faham kata-kata Aminuddin yang sering mengulang ungkapan dia sama dengan arwah abang keduanya.

 “Rupanya cara kematian mereka sama iaitu kemalangan jalan raya menjelang raya,” katanya. 

Naimah berkata, Muhammad Aminuddin juga pernah memberitahu untuk tidak membeli pakaian raya tahun ini sebaliknya hanya mahu memakai kurta putih pada pagi raya. 

Dia yang menetap di Pulai Chondong, Machang juga tidak begitu bersemangat untuk menyambut Aidilfitri yang bakal tiba hujung minggu ini.

 “Rupa-rupanya ia petanda saya akan hilang seorang lagi anak lelaki. Ia bagai luka lama berdarah kembali,” katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, kemalangan dipercayai berpunca selepas kereta Honda Civic dipandu Muhammad Aminuddin dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler dipandu lelaki berusia 38 tahun. 

Beliau berkata, impak pelanggaran menyebabkan treler terbabit mengelongsor ke laluan bertentangan lalu bergesel dengan sebuah kereta Proton Saga sebelum merempuh kenderaan pelbagai guna, Perodua Alza yang diletak di dalam garaj di tepi jalan. 

“Pemandu dan penumpang kereta Proton Saga mengalami cedera ringan akibat kemalangan itu dan menerima rawatan pesakit luar di Unit Kecemasan Hospital Setiu,” katanya. 

Sementara itu, jenazah dua anggota tentera darat tersebut selamat dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan semalam. 

Muhammad Aminuddin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Binjai, Mulong, Kota Bharu, Kelantan pada 4.35 pagi, manakala Mohamad Shakiran di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedondong Hilir, Bunut Susu, Pasir Mas pada 10.35 pagi.