Oleh MOHD AZLI ADLAN
SETIU – Seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim maut selepas motosikal Yamaha Y15ZR ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta Honda City di Kilometer 63, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Kampung Pak Kancil, di sini, awal pagi ini.
Dalam kemalangan pada pukul 2.35 pagi itu, mangsa, Muhammad Hazim Danial Mohamad Radzi, 15, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Zahril Asri Mohd. Zain berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Hazim Danial dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Kederang, di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Yamaha Y15ZR ditunggangi mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.
“Sebuah kereta Honda City dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun gagal mengelak lalu merempuh mangsa,” katanya di sini hari ini.
Zahril Asri berkata, impak pelanggaran tersebut menyebabkan tubuh Muhammad Hazim Danial terperosok di bawah kereta Honda City berkenaan.
Beliau berkata, mayat remaja lelaki tersebut telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment