Translate

Friday, November 6, 2026

Vape tetap laris, jualan cecah RM5,000 sehari walaupun pernah diserbu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menyerbu tiga buah premis menjual produk vape yang dipercayai beroperasi secara haram di sekitar daerah ini semalam.

Dalam serbuan selaam empat jam bermula pada pukul 4.05 petang, pihak berkuasa merampas produk vape iaitu cecair, peranti dan aksesori dengan nilai keseluruhan sebanyak RM239,990.

Ketiga-tiga peniaga tersebut turut dikompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang oleh pihak Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) yang turut menyertai Op Taring Alpha 3 tersebut.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis jualan produk vape terkenal di Chukai di sini pada pukul 4.05 petang.

“Hasil soal siasat awal dengan seorang pekerja wanita berusia 22 tahun, premis yang beroperasi sejak lebih dua tahun itu menerima bekalan produk vape daripada ibu pejabat secara mingguan.

“Walaupun pernah dikenakan tindakan kompaun beberapa kali oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan, jualan premis tersebut tetap mencecah RM5,000 sehari,” katanya hari ini.

Ahmad Radzi berkata, serbuan kedua dan ketiga pula dilakukan di premis di Kampung Gelugor, Kerteh, dan di Kampung Bakau Tinggi, di sini pada pukul 4.30 petang dan 8.30 malam.

Sebelum ini, kerajaan negeri Terengganu mengharamkan penjualan produk vape berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment