Translate

Saturday, November 4, 2023

Mayat wanita disyaki mangsa bunuh ditemui dalam longkang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Seorang wanita dipercayai berusia dalam lingkungan 60-an ditemui mati di dalam longkang di tepi jalan di Batu 23, Kuala Berang berhampiran Pejabat Kesihatan Hulu Terengganu di sini hari ini.

Mayat wanita itu dijumpai dalam keadaan tertiarap di dalam longkang pada kira-kira pukul 3 pagi.

Mangsa dikatakan dilanggar seorang suspek di lokasi kejadian sebelum melarikan diri.

Sebuah kereta Honda Jazz berwarna perak yang mempunyai kesan kemalangan disyaki dinaiki mangsa juga ditemui berhampiran lokasi penemuan mayat tersebut.

Motif kejadian masih belum diketahui dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan dijangka memberi sidang akhbar berhubung kes itu pada masa terdekat. – KOSMO! ONLINE

‘Apa salah kakak dibunuh dengan kejam’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN, NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN dan TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

KEMAMAN – Pembunuhan kejam seorang usahawan tudung dan pakaian dengan cara dia dilanggar sebelum ditikam 15 kali oleh rakan kongsinya sendiri kelmarin benar-benar mengejutkan seluruh ahli keluarga.

Adik mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, rata-rata ahli keluarga sukar mempercayai kakaknya yang berusia 65 tahun itu boleh diperlakukan sebegitu kejam oleh individu yang sangat dikenali.

“Sukar untuk kami terima kenyataan kerana arwah kakak seorang yang ceria dan tidak pernah memberitahu dia mempunyai masalah atau bermusuh de­ngan sesiapa termasuk suspek.

“Kali terakhir kami sekeluarga bercuti bersama adalah dua ming­gu lalu ketika berkunjung ke Thailand.

“Ketika itu, kakak nampak sangat ceria,” katanya ketika ditemui pada pengebumian arwah di Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Kenangan, Kampung Baru Kerteh di sini semalam.

Jenazah selamat disemadikan pada pukul 12.15 tengah malam dengan dihadiri lebih 50 ahli keluarga dan kenalan.

Adik mangsa berkata, dia mengetahui mengenai kejadian pembunuhan itu selepas dihubungi oleh anak tunggal kakaknya pada pukul 9 pagi.

Dalam pada itu, suspek kes berkenaan yang juga seorang usa­hawan tudung dan pakaian telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan pembunuhan berkenaan.

Suami wanita itu yang merupakan seorang mekanik ber­usia 37 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perintah reman tersebut dibenarkan Majistret Zur Azureen Zainalkefli di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Terdahulu pasangan suami isteri berkenaan yang berpakaian lokap tiba di pekarangan mahkamah pada kira-kira pukul 10 pagi.

Suspek wanita tersebut kelihatan sebak apabila dikerumumi ahli keluarganya sambil berkali-kali merintih menyebut nama abangnya apabila dipeluk lelaki itu di pekarangan mahkamah.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, wanita berkenaan ditahan di rumahnya di Wakaf Tapai, Marang pada pukul 11 pagi kelmarin.

Beliau berkata, sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan berkenaan turut ditemui di kawasan sekitar rumah suspek.

“Suami wanita itu juga ditahan beberapa jam kemudian bagi membantu siasatan disebabkan kereta Honda Jazz dipercayai digunakan untuk melanggar mang­sa didaftarkan atas namanya,” katanya lagi.

Friday, November 3, 2023

Rakan kongsi, suami direman 7 hari kes bunuh usahawan tudung

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Seorang usahawan tudung dan pakaian bersama suaminya ditahan reman selama tujuh hari sehingga 8 November ini bagi membantu siasatan membunuh seorang wanita warga emas di Batu 23, Jalan Kuala Berang, Hulu Terengganu semalam.

Perintah reman itu dibenarkan Majistret Zur Azureen Zainalkefli di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Terdahulu pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 37 dan 35 tahun yang berpakaian lokap tiba di pekarangan mahkamah pada kira-kira pukul 10 pagi.

Suspek wanita tersebut kelihatan sebak apabila dikerumuni ahli keluarganya sebelum dipeluk salah seorang lelaki dipercayai abangnya.

Mereka disiasat mengikut Sesyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Penahanan suami usahawan tudung dan pakaian itu yang merupakan seorang mekanik bagi membantu siasatan kerana kereta Honda Jazz disyaki digunakan dalam kejadian langgar lari tersebut merupakan kepunyaannya.

Kosmo! hari ini melaporkan suspek wanita disyaki melanggar dan menikam mati mangsa yang merupakan rakan kongsinya.

Mayat mangsa yang merupakan pesara kerajaan ditemui di dalam longkang berhampiran Pejabat Kesihatan Hulu Terengganu pada pukul 3 pagi.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, siasatan awal percaya insiden bermotifkan rasa tidak puas hati suspek wanita berhubung agihan keuntungan perniagaaan. – KOSMO! ONLINE